MANE  dan Salah dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi latihan walaupun  ketika berpuasa.
MANE dan Salah dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi latihan walaupun ketika berpuasa.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Beraksi dengan empat tonggak utama yang sedang berpuasa pastinya sukar buat sesetengah pasukan untuk meraih keputusan positif, namun tidak buat Liverpool.

Empat pemain iaitu Sadio Mane, Mo Salah, Ibrahima Konate dan Naby Keita antara tonggak utama skuad The Reds beragama Islam yang tetap menjalani ibadah puasa biarpun terpaksa mengharungi jadual perlawanan padat seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Begitupun situasi itu tidak menghalang mereka berempat untuk menunaikan kewajipan Rukun Islam ketiga itu dengan dua watak penting iaitu kapten, Jordan Henderson serta pengurus kelab, Jurgen Klopp cukup memahami.

Mendedahkan perkara itu, Mane mengakui dua individu berkenaan amat menjaga kebajikan pemain beragama Islam apabila sanggup mengubah jadual latihan bagi membolehkan mereka berempat menjalani ibadah puasa dengan baik.

"Bukan mudah untuk bermain dengan menekankan intensiti tinggi dan berlatih sambil menunaikan Ramadan. Bukan senang tapi sebelum Ramadan datang, kami merujuk kapten (Henderson) untuk memberitahu bos (Klopp), mana tahu kalau beliau boleh menukar jadual latihan untuk berlatih di sebelah pagi.

"Ini (latihan pagi) memudahkan kami (berpuasa). Apabila berlatih sebelah pagi, kami ada masa yang cukup untuk berehat di rumah. Jika berlatih jam 2 atau 3 (petang), agak sukar.

"Pengurus (Klopp) kata ya (ubah jadual latihan dan saya rasa ini yang membuatkan tugas kami menjadi lebih mudah dan kami akhirnya membalas dengan cuba memberikan yang terbaik," kata Mane ketika ditemubual oleh BeIN Sports.

Berdasarkan keputusan perlawanan dilalui Liverpool sepanjang Ramadan ini, anak buah Klopp cukup cemerlang apabila tidak pernah tewas dalam lapan aksi dari 2 April lalu hingga setakat ini.

Kemenangan paling dramatik sudah tentunya kejayaan mengatasi Manchester City 3-2 dalam aksi separuh akhir Piala FA pada 16 April lalu selain membelasah Manchester United 4-0 di saingan EPL, 20 April.

Terbaharu, kemenangan 2-0 ke atas kelab Sepanyol, Villarreal dalam separuh akhir pertama UCL awal pagi tadi dengan Ramadan kali ini nampaknya memberikan satu rahmat tersendiri buat Mane apabila meledak satu gol bagi membuktikan bahawa berpuasa bukan halangan untuk beraksi cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 10:49 PM