SALAH antara pemain beragama Islam yang beraksi bersama Liverpool. FOTO Reuters
SALAH antara pemain beragama Islam yang beraksi bersama Liverpool. FOTO Reuters
Agensi

London: Bekas sensasi Liverpool, Sadio Mane pernah mendedahkan kelab itu menukar jadual latihan mereka untuk membantu pemain Islam menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan.

Umat ​​Islam secara tradisinya berpuasa dari matahari terbit hingga terbenam pada bulan Ramadan. Sepanjang tempoh berpuasa mereka diwajibkan menahan diri daripada makan dan minum.

Liverpool mempunyai beberapa pemain yang beragama Islam iaitu Mohamed Salah, Ibrahima Konate dan Naby Keita.

Menurut Mane yang kini bersama Bayern Munich, kapten kelab, Jordan Henderson bercakap dengan Jurgen Klopp bagi pihak pemain beragama Islam dan pengurus itu bersetuju untuk menukar sesi latihan dari petang ke sebelah pagi.

"Bermain dan berlatih ketika berpuasa sama sekali bukanlah mudah. Tetapi sebelum Ramadan, kami cuba bercakap dengan kapten untuk memberitahu bos (Klopp) mungkin boleh menukar jadual dan berlatih pada waktu pagi.

"Jika berlatih pada waktu pagi maka anda mempunyai masa untuk berehat dan pulang ke rumah. Jika berlatih sekitar jam dua atau tiga petang, ia akan menjadi sukar.

"Jurulatih bersetuju dan saya rasa ia memudahkan kami dan kami akan cuba melakukan yang terbaik."

Ditanya bagaimana pemain berpuasa ketika hari perlawanan, Mane menjawab: "Ia tidak mudah, tetapi seperti biasa suasana hari perlawanan adalah berbeza.

"Dengan berpuasa ia sukar tetapi saya fikir Liverpool cuba memudahkan segalanya untuk kami."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 10:43 AM