PEMAIN JDT yang diketuai Safiq Rahim (kanan) menjalani latihan bagi persiapan menjelang pertembungan menentang Kelantan FC, Sabtu ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT yang diketuai Safiq Rahim (kanan) menjalani latihan bagi persiapan menjelang pertembungan menentang Kelantan FC, Sabtu ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun merekodkan 'hatrik' tiga kemenangan berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan bersikap memandang rendah keupayaan Kelantan FC apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

Bagi pengendali JDT, Esteban Solari, kemenangan tiga aksi yang diharungi baru-baru ini sememangnya menaikkan moral pemain tapi beliau tidak mahu mereka terlalu terbuai-buai dengan kemenangan memandangkan ada tugas berat menanti mereka tatkala beraksi di laman sendiri.

Katanya, aksi menentang skuad kendalian Choi Moon-sik tetap sukar selain pemain JDT akan turun bermain di sebelah petang yang kemungkinan akan beri kesan terhadap rentak permainan namun beliau menegaskan masalah itu tidak menjejaskan perancangan skuad Harimau Selatan mengekalkan momentum kemenangan.

"Jika dinilai corak permainan Kelantan FC, mereka beraksi mengamalkan permainan bertahan dengan baik dan bertindak membuat serangan balas yang pantas sehingga berjaya mencipta kemenangan 2-0 ke atas Penang FC malah pasukan itu kerap beri kesukaran buat barisan serangan lawan dan kami tidak boleh ambil mudah pada pertembungan itu.

"Ia tetap perlawanan sukar bagi kami walaupun beraksi di laman sendiri tapi kami akan membuat persediaan lebih rapi dan seperti yang katakan kami akan memberi fokus untuk terus memantapkan lagi barisan pemain dengan membentuk kombinasi permainan tersusun.

"Kami harus ada kepercayaan terhadap kualiti permainan dan mengelak daripada sikap tidak sabar bagi memastikan apa jua strategi dan gerakan yang disusun atur beri impak positif dalam permainan menerusi gerakan di posisi sayap kiri dan kanan.

"Posisi tengah yang menjadi nadi utama juga akan diperkemaskan lagi selain memastikan benteng pertahanan ampuh selepas mengharungi tiga perlawanan, kami masih belum bolos lagi dan ia perkembangan baik bagi menjelmakan keyakinan apabila beraksi dalam perlawanan sebenar," katanya.

Mengulas mengenai status Leandro Velazquez yang mengalami kecederaan ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC, Isnin lalu, Solari mengesahkan pemain import tengah dari Argentina itu perlu berehat panjang akibat kecederaan di lutut.

Beliau juga belum pasti sama ada Bergson Da Silva yang tidak diturunkan ketika JDT membelasah skuad kendalian K Devan 7-0 selepas penjaring terbanyak Liga Malaysia (Liga M) musim lalu turut mengalami kecederaan.

"Leandro alami kecederaan koyak di bahagian bawah lutut dan kami kehilangannya untuk beberapa perlawanan dan Bergson belum pasti sama ada boleh diturunkan menentang Kelantan dan semuanya bergantung kepada tahap kecergasannya.

"Tidak timbul masalah untuk menggantikan Bergson malah kelibat Diogo (Luis Santo) mampu menggalas tugas selaku penyerang selain pemain seperti Syafiq (Ahmad) juga memiliki kredibiliti selaku penyerang berbisa dan itu kelebihan yang kami miliki apabila semua pemain bersedia untuk diturunkan," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 2:43 PM