ESTEBAN Solari. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ESTEBAN Solari. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan pertembungan menentang Perak FC pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam esok bukanlah perlawanan yang mudah.

Walaupun sudah melakar enam kemenangan berturut-turut dan gah selaku pendahulu liga, Solari enggan mendadik dada, sebaliknya tetap mahu memperkemas kelemahan yang membelenggu skuad Harimau Selatan bagi berdepan skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim.

Tegasnya, Perak FC pasti mahu melakukan kebangkitan tatkala beraksi di laman sendiri selepas tewas 1-3 kepada Penang FC dan pemain JDT tidak boleh bersikap sambil lewa, malah harus bersedia dengan penampilan corak permainan pantas skuad The Bos Gaurus itu.

"Tiada istilah bola sepak mudah menang, sebaliknya setiap perlawanan yang diharungi sudah tentu sukar dan selepas aksi Sabah, kini kami perlu berdepan Perak yang memiliki barisan pemain muda yang tidak kenal erti kepenatan kerana mereka akan berlari dan bakal beri tekanan terhadap kami.

"Bagi kami setiap perlawanan akan beri cabaran kerana kami bersaing dengan diri sendiri untuk jadi lebih bagus dan memperbaiki apa jua kelemahan yang harus dipertingkatkan terutama kualiti permainan yang menekankan intensiti tinggi dan harus konsisten.

"Itulah cabaran buat kami, malah pemain juga perlu ada motivasi diri supaya kerap beri fokus pada perlawanan yang mereka akan harungi dan ia akan mengurangkan tekanan ketika beraksi nanti, dan kami akan turun untuk beri yang terbaik tidak kira apa jua suasana di stadium kerana objektif utama adalah laksana tugas dengan positif," katanya.

Mengulas mengenai Bergson Da Silva yang masih diketepikan akibat kecederaan, bekas pengendali Bawah 23 tahun Argentina itu berkata, penyerang prolifik itu kermungkinan akan diturunkan dalam kesebelasan utama selepas mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Katanya, Bergson sememangnya amat diperlukan dalam skuad Harimau Selatan dan kemungkinan dia akan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan akan datang, sama ada aksi menentang Perak FC atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

"Kecederaan yang dialami kali ini agak lama untuk pulih dan kami enggan ambil risiko untuk turunkan dia beraksi tapi sudah ada petanda positif selepas dia mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan dan kami mahu dia cergas 100 peratus sebelum diturunkan beraksi," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 12:30 PM