RONALDO tidak lagi setajam dahulu.
RONALDO tidak lagi setajam dahulu.
Reuters

Manchester, England: Manchester United mungkin tidak menang perlawanan pertama mereka sejak menyingkirkan Cristiano Ronaldo daripada skuad tetapi keputusan seri 1-1 di Chelsea tampak mengesahkan prestasi mereka lebih baik tanpa bintang Portugal itu.

Walaupun mereka memerlukan jaringan Casemiro pada minit ke-94 untuk mendapatkan mata, United lebih mendominasi perlawanan dan lebih berbahaya tanpa pemain terbaik dunia lima kali itu.

Ronaldo yang diarahkan berlatih sendirian oleh pengedali Erik ten Hag sejak meninggalkan padang lebih awal ketika menang 2-0 ke atas Tottenham, hanya dua kali tersenarai dalam kesebelasan untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, ketika tewas 0-4 kepada Brentford dan seri 0-0 dengan Newcastle United.

Ketika kemenangan bergaya ke atas Liverpool, Arsenal dan Tottenham, pemain berusia 37 tahun itu hanya beraksi keseluruhannya 36 minit.

Sumbangan pentingnya hanya ketika dia menjaringkan gol kemenangan 2-1 di Everton selepas Ten Hag terpaksa memasukkannya apabila Anthony Martial mengalami kecederaan.

Ia jaringan ke-700 Ronaldo namun kegemilangannya semakin pudar. Dia tersenarai dalam semua empat perlawanan Liga Europa menentang lawan tidak ternama seperti Sheriff Tiraspol dan Omonia Nicosia namun hanya menjaringkan satu gol menerusi penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 10:31 PM