REAKSI Guardiola (kanan) pada perlawanan semalam. FOTO Reuters
REAKSI Guardiola (kanan) pada perlawanan semalam. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Taktik Manchester City masih sama walaupun mesin gol, Erling Haaland tidak beraksi, kata pengurus, Pep Guardiola selepas pasukannya menang 4-1 ke atas Liverpool dengan penyerang Norway itu hanya bersorak di tepi padang memberi sokongan kepada rakan sepasukan.

Pemenang Piala Dunia bersama Argentina, Julian Alvarez, Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Jack Grealish masing-masing meledak gol untuk City sekali gus menepis kebimbangan bahawa mereka mungkin bergelut untuk menjaringkan gol tanpa Haaland.

"Tiada apa-apa yang berubah. Kualiti, taktik bola sepak ditentukan oleh pemain, dan apabila kami mempunyai Erling, kami ada sesuatu yang istimewa, tapi Julian (Alvarez) juga istimewa.

"Dia sangat bijak mengawal bola dan seorang pemain yang luar biasa. Kelab membuat pembelian yang berbaloi.

"Dia muncul juara dunia bersama Lionel Messi kerana dia mempunyai sesuatu," kata Guardiola selepas kemenangan ke-100 di Etihad bersama City.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL), Haaland, yang menjaringkan 42 gol dalam semua kejohanan termasuk 28 di saingan liga, mengalami kecederaan pangkal paha ketika menentang Burnley pada 18 Mac lalu.

Tahap kecergasannya masih tidak pasti, walaupun rakaman kamera televisyen menyaksikannya berdiri meraikan gol Alvarez.

Bagaimanapun, Guardiola dikritik kerana meraikan jaringan Alvarez dengan reaksi agak keterlaluan.

"Saya meraikan jaringan itu kerana ia sangat menarik. Anda rasa ia seperti tidak menghormati lawan? Saya minta maaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 8:28 AM