HAALAND akan menyarung jersi bernombor sembilan. -FOTO Agensi
HAALAND akan menyarung jersi bernombor sembilan. -FOTO Agensi
Agensi

London: Erling Haaland disahkan sebagai pemain yang akan menyarung jersi bernombor sembilan baharu Manchester City, mengambil alih tugas Gabriel Jesus selepas pemain Brazil itu menyertai Arsenal.

Pemain baru dari Borussia Dortmund itu sudah dijangka akan mengetuai serangan City pada musim baharu ini dan kini memiliki nombor simbolik untuk memikul tanggungjawab itu.

Haaland yang akan berusia 22 tahun pada 21 Julai ini, menyertai City yang berjaya mengetepikan cabaran Liverpool untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana pada hari terakhir cabaran laga musim lalu.

Terdapat beberapa alasan kukuh yang membawa pemain itu ke City.

Pemain Norway itu menjaringkan 86 gol dalam 89 penampilan di semua pertandingan sepanjang dua tahun di Dortmund dengan hanya Robert Lewandowski (123 dalam 108 perlawanan) dan Kylian Mbappe (93 dalam 111 perlawanan) daripada lima liga teratas Eropah yang menjaringkan lebih banyak gol pada masa itu.

Musim lalu, Haaland meledakkan 29 gol dalam 30 perlawanan di semua pertandingan dengan kadar satu gol setiap 3.6 percubaan.

City mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu, di samping kejayaan menjuarai Liga Perdana bermain dengan sebahagian besar musim ini dengan 'sembilan penyerang palsu' dan bukannya penyerang tengah seperti Haaland.

Haaland akan diperkenalkan dalam satu majlis hari ini bersama penyerang baharu terdiri daripada bekas pemain tengah Leeds United Kalvin Phillips dan bekas penyerang River Plate, Julian Alvarez.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 9:17 AM