HAALAND menjaringkan gol ketiga City melalui sepakan akrobatik. FOTO AFP
HAALAND menjaringkan gol ketiga City melalui sepakan akrobatik. FOTO AFP
AFP

Southampton: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, Erling Haaland berada pada standard Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo apabila menjaringkan dua gol sebaik pulih dari kecederaan ketika kemenangan 4-1 ke atas Southampton.

Kemenangan itu membolehkan City hanya dibezakan lima mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal.

Haaland sekarang ini menjaringkan 44 gol dalam penampilan pertama bersama penyandang juara EPL itu, termasuk 30 gol dalam 27 penampilan.

Jaringan kedua penyerang Norway itu lebih istimewa apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Jack Grealish menerusi aksi akrobatik.

"Gol kedua amat menakjubkan. Bukan mudah untuk mengambil bola di udara dan meletakkannya di atas rumput.

"Kami memerlukannya. Babak pertama kami tidak berada pada tahap terbaik kami tetapi dia menukar rentak permainan.

"Sebagai penjaring hebat, kita menikmati dua dekad yang luar biasa dengan Cristiano Ronaldo serta Lionel Messi, tetapi dia kini berada di tahap itu.

"Dia menjaringkan banyak gol. Saya amat gembira dengan 65 minit selepas kecederaan dan dia membantu kami sekali lagi," kata Guardiola.

Kepulangan Haaland selepas kecederaan pangkal paha satu-satunya pertukaran dilakukan Guardiola ke atas skuad yang menewaskan Liverpool 4-1 minggu lalu.

Southampton kekal di tangga tercorot liga, empat mata di bawah zon selamat.

Haaland membuka jaringan sebelum rehat dengan memanfaatkan hantaran lintang Kevin De Bruyne.

City menemui rentak selepas rehat untuk memastikan kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Grealish menambah jaringan dengan percubaan keduanya selepas rembatan pertamanya diselamatkan Gavin Bazunu.

Dia kemudian mengumpan bola untuk jaringan akrobatik Haaland yang kemudian digantikan dengan Julian Alvarez pada 20 minit terakhir.

"Anda tidak akan melihat saya melakukannya. Saya akan dikejarkan ke hospital Southampton jika melakukannya," kata De Bruyne berkenaan jaringan kedua Haaland.

Sekou Mara menjaringkan gol tunggal tuan rumah selepas mendapat hantaran Moussa Djenepo, tetapi City membalasnya tiga minit kemudian menerusi sepakan penalti Alvarez selepas De Bruyne dikasari dalam kotak penalti.

City yang masih berada di landasan untuk memburu tiga kejuaraan musim ini, akan berdepan Bayern Munich pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 8:46 AM