MAHREZ (jersi 26) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma melencong bagi memastikan Manchester City menang 2-0 ke atas Chelsea. FOTO AFP
MAHREZ (jersi 26) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma melencong bagi memastikan Manchester City menang 2-0 ke atas Chelsea. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City menambah tekanan terhadap Graham Potter apabila menewaskan Chelsea, 2-0, untuk mara ke pusingan 16 terakhir Piala Liga Inggeris, hari ini, pada ketika Arsenal dan Tottenham turut tersingkir.

Arsenal tewas 1-3 di tempat sendiri di tangan Brighton, manakala Spurs tewas 0-2 di Nottingham Forest sekalipun menurunkan Harry Kane dalam kesebelasan utama.

Juara bertahan, Liverpool memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan kelab Liga Satu, Derby apabila seri 0-0 di Anfield.

City memenangi pertarungan dua pasukan yang banyak melakukan rombakan di Etihad dengan dua gol dalam tempoh lima minit pada babak kedua menerusi Riyad Mahrez dan Julian Alvarez memastikan anak buah Pep Guardiola mara ke pusingan berikutnya.

Mahrez melakukan sepakan percuma melencong di luar kotak penalti manakala Alvarez menjaringkan gol ketiga dalam tiga perlawanan, sekali gus membalas kepercayaan diturunkan dalam kesebelasan utama mengatasi Erling Haaland.

"Julian adalah pemain luar biasa," kata Guardiola.

"Sudah tentu dia terpaksa bersaing dengan penyerang terbaik di dunia iaitu Erling, tetapi Julian membuktikan dia turut mampu melakukan banyak perkara."

Arsenal masih mengatasi City di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi belum menambah koleksi Piala Liga sejak kali terakhir pada 1993 selepas Brighton terus membuktikan perubahan di bawah bimbingan Roberto De Zerbi.

Jaringan Eddie Nketiah meletakkan tuan rumah di depan di Emirates, tetapi kesilapan penjaga gol, Karl Hein pada penampilan sulung bersama Arsenal membolehkan Danny Welbeck menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti ke atas bekas kelabnya itu.

Sepakan padu Kaoru Mitoma mengubah arah perlawanan sebelum Tariq Lamptey memastikan kemenangan Brighton 19 minit sebelum aksi berakhir.

"Kami tersingkir, ia sudah berlaku. Kini kami perlu fokus kepada EPL yang menjadi keutamaan," kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

Pengurus England, Gareth Southgate mungkin kecewa apabila melihat Kane diturunkan dalam kesebelasan utama di City Ground, pada malam sebelum dia menyenaraikan skuad ke Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 8:08 AM