Benjamin Mora (tengah) memperkatakan sesuatu kepada pemain ketika aksi Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia  di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Benjamin Mora (tengah) memperkatakan sesuatu kepada pemain ketika aksi Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan pertemuan dengan Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia malam tadi adalah perlawanan yang begitu sukar buat anak buahnya.

Jurulatih kelahiran Mexico itu berkata, pasukannya hampir dihukum dengan aksi hebat dipamerkan pemain TFC terutama pada babak pertama sehingga skuadnya ketinggalan dengan jaringan awal tuan rumah.

Bagaimanapun jurulatih berusia 42 tahun itu meluahkan nada kegembiraan selepas pemainnya kembali bangkit mendapat rentak dengan corak permainan tersusun dan bertenaga terutama pada babak kedua sebelum berjaya menyamakan kedudukan.

Jordan Mintah (kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan pada aksi Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori
Jordan Mintah (kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan pada aksi Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori

"Malam ni (malam tadi) boleh dikatakan sebagai perlawanan yang begitu sukar buat kami, beraksi dalam keadaan padang yang baik dan kualiti pemain TFC yang bermain pantas dan menyerang di bahagian sayap, kita hampir dihukum.

"Tambahan pula pemain kami tidak bermula dengan baik pada awal permainan sehingga minit ke-15 dengan aksi sedikit kelam kabut menyebabkan kami bolos dengan jaringan awal tuan rumah yang memanfaatkan peluang terhidang.

"Namun saya lega apabila pemain berjaya bangkit untuk menjaringkan gol, selepas jaringan itu, saya lihat aksi separuh masa kedua milik kami, sepatutnya tambahan jaringan dapat dihasilkan pemain, tapi keputusan itu sudah memadai bagi kami untuk pulang ke Johor sebelum aksi separuh akhir kedua pada Jumaat ini," kata Mora selepas berakhir perlawanan.

Dalam perlawanan berintensiti tinggi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, penyerang import TFC kelahiran Ghana, Jordan Mintah menggamatkan 20,000 peminat setia skuad Penyu apabila meledak gol pada minit kelapan melalui tandukan mengelirukan sebelum pemain kelahiran Brazil, Bergson Da Silva menyamakan kedudukan buat pasukannya pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Ketika ditanya peluang buat pasukannya untuk mara ke pentas final musim ini selepas membawa bekalan satu gol, Mora tanpa berselindung menyifatkan skuadnya berada pada landasan terbaik untuk menyingkirkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu sekali gus membalas dendam episod malang tewas secara agregat 3-2 juga pada aksi sama pada 2018.

"Pemain perlu elak daripada bolos kerana kita tahu corak permainan TFC lebih menyerang dan pantas, ini menyukarkan kami, mereka juga ada pemain senior dan muda yang bagus." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 12:08 PM