STEINBRUCKNER menarik nafas lega apabila perubahan pemain dan taktikal pada babak kedua menyaksikan pasukannya berjaya menambah tiga lagi jaringan. FOTO GHAZALI KORI
STEINBRUCKNER menarik nafas lega apabila perubahan pemain dan taktikal pada babak kedua menyaksikan pasukannya berjaya menambah tiga lagi jaringan. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan kemenangan menundukkan pasukan Liga M3, Melaka FC pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam tadi adalah perlawanan yang sukar buat anak buahnya.

Jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu, perancangan yang disusun untuk memburu jaringan selesa pada babak awal pertama tidak menjadi walaupun anak buahnya mendominasi permainan kerana lawan bijak bertahan selain mereka menekan pasukan TFC.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Croatia itu menarik nafas lega apabila perubahan pemain dan taktikal pada babak kedua menyaksikan pasukannya berjaya menambah tiga lagi jaringan bermula pada minit ke-70, 81 dan masa kecederaan selepas mendapat gol pendahuluan pada minit kelima.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu yang menurunkan empat tonggak import berbanding lawan tanpa import termasuk tidak menurunkan pemain naturalisasi mereka, Guilherme De Paula menghantar lawan 'pulang' dengan kekalahan 4-0 hasil jaringan Ivan Mamut, Hakimi Abdullah dan dua gol menerusi penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah.

Lebih manis kemenangan itu di hadapan lebih 5,000 peminat setia skuad Penyu walaupun Tommy sedar kemenangan ke atas pasukan bimbingan jurulatih kelahiran Portugal, Pedro Hipolito bagaikan sudah dijangka lebih awal.

"Keputusan yang positif buat kami, tapi menentang pasukan Melaka FC yang beraksi di saingan divisyen tiga, pemain nampak bergelut dan mereka menghabiskan banyak tenaga untuk memburu jaringan lebih selesa pada babak pertama selepas hanya mampu meledak satu jaringan menerusi Mamut.

"Saya beritahu pemain jika kita dapat capai keputusan yang baik pada awal permainan, saya akan melakukan pertukaran pemain tonggak, namun perancangan itu tidak menjadi selepas lawan mampu memberikan saingan dan tekanan selain deretan peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan.

"Bagaimanapun dalam 30 minit terakhir perlawanan corak permainan anak buah saya nampak lebih baik selepas beberapa pertukaran pemain, situasi lebih lega apabila pemain gantian, Hakimi dapat menjaringkan gol kedua pada 20 minit terakhir.

"Tapi inilah sebahagian daripada perlawanan bola sepak, sesetengah pemain kami juga nampak begitu penat dan ada yang mengalami kecederaan iaitu tiga tonggak pertahanan, Argzim Redzovic, Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.

"Namun kami lega berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dan bakal berdepan dengan Kelantan FC, tahniah buat semua pemain termasuk pemain gantian yang berjaya memperagakan aksi meyakinkan walaupun kerap memanaskan bangku simpanan sebelum ini," katanya yang juga lega selepas dua tonggak penyerang importnya, Mamut dan Mintah masing-masing menemui sentuhan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 1:47 PM