MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendedahkan tawaran penukaran rumput stadium boleh dikatakan 'tidak laku' apabila setakat ini hanya dua negeri menunjukkan minat.

Situasi itu didedahkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyatakan sejak tawaran terbabit dibuka, pihaknya menerima surat rasmi daripada Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Kedah berhubung penukaran rumput padang di Stadium Perak, Ipoh dan Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Katanya, KBS sebelum ini menawarkan dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia, yang turut digunakan di Stadium Sultan Ismail, Johor Bahru.

"Kita terima dua surat iaitu satu dari Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Kedah berkenaan soal pertukaran rumput dan saya akan panggil mesyuarat kedua untuk melakukan perjumpaan bersama barisan exco untuk berbincang isu ini.

"Saya juga nak dapatkan ketetapan dari negeri lain sekiranya mereka menolak tawaran ini. Saya akan minitkan perkara itu dalam mesyuarat dan kita akan lakukan perbincangan seterusnya," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Kriket Malaysia (MCA) di Bayuemas Oval, Klang, petang semalam.

Selain itu, KBS meminta sekiranya ada negeri berminat dengan tawaran itu perlu membaik pulih sistem saliran sebelum kerja penggantian rumput dilakukan.

"Jika ada negeri berminat, mereka perlu pastikan sebelum penggantian rumput dilakukan, infrastruktur saliran dan semua sistem itu dalam keadaan baik.

"Jika infrastruktur itu tidak baik, mereka perlu baik pulih dulu sebelum kita bagi dana untuk penanaman rumput baharu. Perlu diingatkan, selepas kita bagi dana, penyelenggaraan stadium itu adalah di bawah pemilik tanah," katanya.

KBS menawarkan peruntukkan untuk menukar rumput Zeon Zoysia di setiap stadium negeri.

Namun, terdapat beberapa negeri dan kelab yang tidak bersetuju untuk menukar rumput kerana risau berdepan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 4:32 PM