TUNKU Ismail (tengah) berkenan bergambar selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini. FOTO Bernama
TUNKU Ismail (tengah) berkenan bergambar selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Padang ini pun paling tinggi RM280,000 setahun (penyelenggaraan), takkan itupun tak boleh buat. Tak masuk akal bagi sayalah."

Itu kata pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui kecewa dengan sikap segelintir pemilik stadium di negara ini memberi alasan kos penyelenggaraan rumput Zeon Zoysia terlalu mahal, sekali gus enggan menerima tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sedia menampung kos penukaran padang bernilai RM1 juta.

Jelas Tunku Ismail, setiap pihak terutamanya pemilik pasukan dalam saingan Liga Malaysia harus menerima tawaran KBS kerana ia secara tidak langsung akan memberi kesan domino kepada persembahan pasukan kebangsaan.

"Penyelenggaraan itu bukan satu alasan kerana bajet paling kurang dalam Liga Super adalah RM8 juta dalam satu pasukan.

"Penyelenggaraan padang ini tidak mencecah lebih daripada RM300,000 setahun…mana logiknya tak ada pasukan yang boleh kekal selenggara padang. Lagi-lagi ada kelab dapat lebih RM20juta daripada kerajaan negeri atau RM30 juta lebih, padang ini pun paling tinggi RM280,000 setahun," katanya.

Tunku Ismail yang ditemui pada majlis perasmian projek penggantian rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini turut menegaskan sudah tiba masanya semua pihak berubah dengan melabur ke arah perkara yang memberi manfaat buat industri bola sepak tempatan.

"Saya pun tak faham dan kadang-kadang tertanya juga…tetapi inilah masanya untuk berubah. Saya harap apa yang KBS buat untuk tawarkan setiap padang di stadium dalam negara sebenarnya sangat baik dan harap ia disambut," katanya.

Sebelum ini, terdapat dua pasukan dikatakan tidak bersedia menukar rumput daripada Cow Grass kepada jenis Zeon Zoysia ekoran kos penyelenggaraan yang agak mahal.

Antara pasukan yang belum bersedia adalah Kedah dan Sabah yang lebih selesa mengguankan Cow Grass di venue masing-masing di mana stadium berkenaan adalah hak milik kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 4:47 PM