Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga kanan) menyampaikan insentif kemenangan kepada atlet Negeri Sembilan disaksikan Mohamad Taufek Abdul Ghani (dua kiri) di Seremban, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga kanan) menyampaikan insentif kemenangan kepada atlet Negeri Sembilan disaksikan Mohamad Taufek Abdul Ghani (dua kiri) di Seremban, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan memerlukan masa yang sesuai untuk melaksanakan penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, ini berikutan negeri itu tidak mempunyai padang lain yang sesuai bagi perlawanan bola sepak bertaraf kebangsaan seperti Liga Malaysia (Liga M) atau peringkat antarabangsa selain Stadium Tuanku Abdul Rahman.

"Jadi, kalau kita hendak buat baik pulih, atau naik taraf dan melakukan penukaran rumput itu ia memerlukan sekurangnya-kurangnya antara tiga hingga empat bulan.

"Oleh itu, kita kena memilih masa yang sesuai iaitu ketika tiada perlawanan (Liga Malaysia) dan andai perlu bagi mengelak jadual terganggu, kita kena cari padang alternatif untuk perlawanan antara Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) dengan pasukan lain.

"Di situ kesukaran kita, sebab itu saya mencadangkan kepada Menteri Besar supaya mencari peluang bagi memastikan Negeri Sembilan ini ada dua padang yang setaraf atau boleh digunakan bagi acara peringkat kebangsaan atau lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan kepada atlet Negeri Sembilan yang meraih pingat pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, petang ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohamad Taufek berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan berjumlah RM1 juta melalui dana geran padanan kepada semua EXCO belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Menterinya, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri mengenai perkara itu dan perlu memilih satu stadium selain perlu menjalankan penyelenggaraan awal sebelum meluluskan peruntukan terbabit.

Mengulas lanjut, Mohamad Taufek berkata, pihaknya akui sistem saliran di STAR tidak dalam keadaan baik kerana air mudah bertakung sekali gus menjejaskan perlawanan bola sepak.

"Kajian dan pertimbangan dari semua aspek perlu dibuat dan kami merancang untuk memanggil pihak-pihak yang berkaitan dan pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan terlebih dulu.

"Kami juga mengambil kira kos senggaraan yang mencecah RM240,000 setahun atau sekitar RM20,000 sebulan jika rumput jenis Zeon Zoysia ditukar di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman," katanya.

Namun beliau berkata, dalam masa sama pihaknya juga tidak mahu melepaskan peluang berkaitan tawaran KBS berkenaan sebagai usaha memajukan sukan bola sepak negeri.

Isu rumput di padang stadium utama negeri timbul baru-baru ini selepas pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua pihak terbabit menaik taraf padang stadium masing-masing kepada rumput yang lebih berkualiti.

Beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan bahawa rumput lembu atau 'Cowgrass' tidak lagi sesuai digunakan dalam bola sepak moden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 6:41 PM