MUSTAPHA ditemui pada Majlis Penutup Sukan Negeri Sembilan 2024, di Pusat Sukan Paroi. -FOTO Mohd Amin Jalil
MUSTAPHA ditemui pada Majlis Penutup Sukan Negeri Sembilan 2024, di Pusat Sukan Paroi. -FOTO Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti jenis rumput yang sesuai untuk ditanam bagi menggantikan rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, kesesuaian jenis rumput yang akan ditanam itu penting bagi memastikan ia menepati keperluan dan suasana stadium itu sendiri.

Katanya, walaupun kerajaan negeri sebelum ini sudah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran geran sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tujuan penukaran rumput, namun ia akan diteliti dari segi kesesuaian sepenuhnya.

"Penukaran rumput jenis Zeon Zoysia ini mengambil kira suasana stadium itu, iaitu dari segi pencahayaan, pengudaraan dan sebagainya.

"Jika kita tukar serta merta dikhuatiri akan memberi kesan dan merugikan. Fokus kita pada fasa pertama ini adalah memperbaiki dan meningkatkan sistem perparitan di stadium itu terlebih dulu.

"Pertukaran rumput sama ada jenis Zeon Zoysia atau Bermuda dan Cowgrass yang digunakan ketika ini akan membabitkan fasa kedua selepas diteliti oleh pakar yang akan melihat kepada kesesuaiannya," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Sukan Negeri Sembilan 2024, di Pusat Sukan Paroi.

Sebelum ini, KBS mengumumkan peruntukan geran sebanyak RM500,000 kepada beberapa negeri untuk menaik taraf sistem saliran dan penukaran rumput padang di stadium yang terbabit dalam Liga Malaysia (Liga M).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 5:01 PM