HANNAH menjawab soalan pada sidang media, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
HANNAH menjawab soalan pada sidang media, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Hanya Sarawak satu-satunya negeri bersetuju untuk menggantikan rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sebuah stadium di negeri itu.

Manakala tiga negeri iaitu Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang sudah menyatakan pendirian tidak bersetuju untuk menukar rumput jenis itu di stadium masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, baki negeri lain memohon lanjutan masa mempertimbangkan penanaman rumput jenis itu kerana mahu melihat kepada kesesuaiannya untuk ditanam di stadium masing-masing.

"Ada beberapa negeri tak bersetuju untuk laksanakan kerana mereka mempunyai stadium sendiri yang sudah menggunakan rumput sedia ada. Yang tak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang manakala yang bersetuju adalah Sarawak.

"Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perlis, Melaka, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan meminta supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengkaji kesesuaian penanaman rumput Zeon Zoysia di negeri masing-masing.

"Mereka nak tengok dulu hasil (penanaman rumput Zeon Zoysia) di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ada beberapa faktor yang mereka perlu pertimbangkan seperti naik taraf sistem saliran di stadium dan negeri berkenaan.

"Untuk sekarang, kita akan bermula dengan Sarawak dulu dalam senarai ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dan Mesyuarat Pelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, hari ini.

Jelas Hannah, kerajaan negeri Sarawak belum memutuskan stadium yang mahu digantikan dengan rumput jenis Zeon Zoysia kerana mahu melihat kesesuaian penanaman rumput jenis berkenaan.

"Ada banyak syarat yang perlu kerajaan negeri buat. Itulah sebabnya ada negeri memohon penangguhan kerana mereka mahu melihat pemasangan rumput di Bukit Jalil terlebih dahulu.

"Apabila ia siap pada September atau Oktober tahun ini, negeri berkenaan mahu melihat hasilnya sama ada ia OK atau tidak," katanya.

KBS sebelum ini menawarkan dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan Negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia, yang turut digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 7:42 PM