SEBAHAGIAN daripada kira-kira 2,000 peserta yang menjayakan program Fit Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Sendayan hari ini. -FOTO Mohd Amin Jalil.
SEBAHAGIAN daripada kira-kira 2,000 peserta yang menjayakan program Fit Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Sendayan hari ini. -FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan memastikan tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menawarkan peruntukan bagi menaik taraf dan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) Paroi, di sini, dapat dilaksanakan.

Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor mengenai perkara itu supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

"Saya fikir kita mempunyai beberapa alternatif yang membolehkan projek ini atau tawaran KBS itu dapat kita teruskan.

"Kita akan bincang di peringkat EXCO," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Sembilan 2023 di Kelab d'Tempat Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Menterinya Hannah Yeoh sebelum ini bersetuju membantu kerajaan Negeri Sembilan menukar jenis rumput sedia ada di STAR kepada rumput jenis Zeon Zoysia, bagi membolehkan stadium berkenaan dipilih sebagai gelanggang perlawanan antarabangsa.

Tawaran berkenaan membabitkan KBS menanggung 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kerajaan negeri minta penangguhan susulan kekangan waktu yang sesuai kerana tiada stadium alternatif untuk melangsungkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Difahamkan tawaran KBS itu akan berakhir bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 5:18 PM