Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kos sekitar RM4.7 juta perlu disediakan oleh setiap Kerajaan Negeri yang berhasrat untuk menukar rumput jenis Zeon Zoysia, di mana kos terbabit adalah kos penyelengaraan rumput itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kos berkenaan adalah kos sama yang perlu disediakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) ke atas Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas venue terbabit secara rasmi menggunakan rumput baru itu.

Katanya, tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaja penukaran rumput daripada Cow Grass kepada Zeon Zoysia masih ada, namun kos penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

"Mengenai tawaran yang kita beri kepada semua Exco Kerajaan Negeri, dan semua sedia maklum bahawa kita baru ada pilihanraya negeri baru-baru ini.

"Ia di mana enam negeri sudah berubah Exco mereka dan sebelum ini memang tawaran yang kita beri, mereka mahu melihat dahulu status dan kos penyelenggaraan.

"Seperti anda sedia maklum, rumput sahaja tidak mencukupi, kena ada naik taraf saliran dan mesin itu perlu ada...bermaksud negeri-negeri perlu ada hampir lebih kurang RM4.7 juta kalau mereka nak (rumput baru tajaan KBS).

"Saya tidak tahu setiap stadium mempunyai masalah sendiri, mungkin saliran atau mungkin banyak lagi kerja yang perlu dinaik taraf.

"Sebab itu mereka nak tengok dulu bagaimana kita selenggara dan kos-kos yang akan digunakan sebelum mereka bersedia dan kata OK.

"Kita bagai tawaran yang sama iaitu kos tanam rumput. Harapan kita, semua stadium negeri mempunyai stadium bertaraf dunia seperti ini (di SNBJ)," katanya.

Terdahulu, KBS menawarkan untuk menaja sepenuhnya kos penukaran rumput namun tawaran berkenaan disambut dingin, di mana hanya beberapa negeri bersedia menerima antaranya Sarawak.

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, diiringi Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh, meninjau keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, diiringi Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh, meninjau keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 3:28 PM