HAALAND masih alami kecederaan. FOTO AP
HAALAND masih alami kecederaan. FOTO AP
Agensi

London: Liverpool dan Manchester City kedua-duanya berdepan masalah kecederaan menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu ini.

The Reds bertandang ke Stadium Etihad untuk menentang Man City dalam perlawanan pertama mereka selepas rehat antarabangsa.

Liverpool pula mempunyai misi untuk merapatkan jurang dengan kedudukan empat tempat teratas Liga Perdana.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kini ketinggalan tujuh mata di belakang Tottenham Hotspur di tangga keempat namun kurang dua perlawanan.

Liverpool berdepan kebimbangan mengenai tahap kecergasan pemain seperti Darwin Nunez, Luis Diaz, Thiago Alcantara dan Calvin Ramsay.

Bos Man City, Pep Guardiola juga perlu berdepan dengan beberapa pemain utamanya yang cedera dan ia termasuklah Erling Haaland serta Phil Foden.

Bapa Erling Haaland, Alfie Haaland masih belum pasti sama ada anaknya akan bermain untuk City apabila menentang Liverpool minggu ini.

Haaland mengalami masalah kecederaan pangkal paha selepas menjaringkan hatrik ketika City menang 6-0 ke atas Burnley pada suku akhir Piala FA, hujung minggu lalu.

Walaupun pada mulanya dipanggil membarisi skuad kebangsaan Norway, penyerang itu kemudiannya digugurkan.

"Manchester City mempunyai kerjasama dengan sebuah hospital di Barcelona, jadi dia berada di sana untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Sekarang dia telah berada di Marbella selama beberapa hari bersama fisio dari kelab. Pertama, saya bukan doktor dan kedua, saya tidak pasti. Tanpa berlatih selama dua minggu, anda tidak boleh terus beraksi. Sudah pasti perlu ada perkembangan dari semasa ke semasa.

"Jika dia tidak mendapat latihan yang teratur bersama pasukan, maka dia tidak mungkin akan beraksi. Ia adalah mengenai bagaimana dia bertindak balas terhadap rawatan dalam beberapa hari akan datang," katanya kepada TV2 Norway.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 8:11 AM