AFP

Manchester: Pep Guardiola membidas pendapat bahawa Manchester City mampu menewaskan Liverpool berdasarkan kepada prestasi semasa apabila kedua-dua pasukan bertemu, esok.

Semasa Guardiola di City dan era Jurgen Klopp sebagai bos Liverpool, kedua-dua kelab menjadi pasukan terkuat dalam Liga Perdana Inggeris.

Liverpool meraih kejuaraan liga pada musim 2019/20, satu-satunya yang gagal dimenangi City sejak lima musim lalu dan mereka hanya mempunyai kelebihan satu mata sebanyak dua kali untuk menewaskan The Reds dalam perebutan kejuaraan liga.

Bagaimanapun, prestasi Liverpool setakat ini dengan hanya dua kemenangan dalam lapan perlawanan membolehkan City mempunyai kelebihan 13 mata ke atas anak buah Klopp.

"Ia adalah pasukan yang sama dan pengurus yang sama. Kami akan cuba mengelak daripada melalui detik buruk. Ia adalah adat pertandingan.

"Pemain sendiri tahu kerana sejak beberapa tahun lalu kami sering bersaing di semua pertandingan dan semua gelaran. Ia sangat sengit dan kami lebih baik sedikit di Liga Perdana," kata Guardiola.

Ketibaan Erling Haaland di City menyaksikan tugas lebih sukar bagi pasukan lain termasuk Liverpool untuk merampas gelaran daripada anak buah Guardiola.

GUARDIOLA (kanan) tetap berasakan skuad bimbingan Klopp memberi ancaman utama. FOTO AFP
GUARDIOLA (kanan) tetap berasakan skuad bimbingan Klopp memberi ancaman utama. FOTO AFP

Haaland sudah menjaringkan 20 gol dalam 12 perlawanan kompetitif dengan 15 daripadanya adalah sepanjang sembilan perlawanan Liga Perdana.

Bintang Norway itu berada pada tahap terbaik untuk diturunkan di Anfield selepas Guardiola meletakkannya di bangku simpanan ketika City seri 0-0 dengan FC Copenhagen pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 8:29 AM