AKSI Salah menjaringkan gol keempat Liverpool di Anfield. FOTO  Reuters
AKSI Salah menjaringkan gol keempat Liverpool di Anfield. FOTO Reuters
Reuters

Liverpool, England: Dua jaringan Mohamed Salah selepas rehat membantu Liverpool memulakan tahun baharu dengan bergaya apabila menewaskan Newcaste United 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, awal pagi tadi.

Skuad Juergen Klopp yang sebelum perlawanan berkongsi mata dengan Aston Villa kini gah selaku pendahulu EPL dengan 45 mata daripada 20 perlawanan manakala Villa 42 mata.

Manchester City pula yang beraksi kurang satu perlawanan di tangga ketiga dengan 40 mata dan Newcastle di tangga kesembilan (29 mata).

"Prestasi sensasi daripada pasukan saya," kata Klopp kepada BBC. "Kami bermula dengan bertenaga. Saya suka dengan banyak aspek dalam perlawanan ini walaupun dibolosi dua gol.

"Suasana yang hebat. Serangan balas dan tekanan ke atas lawan yang berkesan dan bagus untuk sekolah bola sepak," tambahnya. "Mereka perlu menyaksikannya dan praktikkannya. Semuanya bagus."

Salah yang meledak 150 gol EPL untuk Liverpool menukar kasutnya ketika rehat dan terbukti menjadi. Dua jaringannya membolehkan dia berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak bersama bintang City Erling Haaland dengan 14 gol.

Liverpool mendominasi perlawanan dan Salah yang merembat tepat ke arah penjaga gol Martin Dubravka ketika sepakan penalti babak pertama akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-49 apabila hantaran Darwin Nunez disudahkan bintang Mesir itu dari jarak dekat.

Namun Alexander Isak menyamakan kedudukan pada minit ke-54 selepas dia yang mendapat hantaran daripada Anthony Gordon melepaskan rembatan melepasi jangkauan Alisson.

Liverpool kembali di depan pada minit ke-74 selepas Curtis Jones mudah menolak bola masuk ke gawang hasil hantaran Diogo Jota dan Cody Gakpo menambah jaringan empat minit kemudian.

Sven Botman merapatkan jurang pada minit ke-81 sebelum Salah yang beraksi perlawanan terakhirnya sebelum menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika meledak jaringan keempat Reds pada minit ke-86 susulan Jota dikasari oleh Dubravka.

Newcastle kini tewas empat daripada lima aksi terakhir liga mereka dan akan berdepan juara bertahan Manchester City pada 13 Januari selepas aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Sunderland Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:35 AM