PENJAGA gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menyelamatkan pintu gol pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang Terengganu FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Azrul Edham
PENJAGA gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menyelamatkan pintu gol pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang Terengganu FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) akhirnya menemui rentak kemenangan pertama musim ini apabila berjaya menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, sebentar tadi.

Kelebihan selaku tuan rumah itu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha meraih tiga mata pertama musim ini.

Meskipun gawang Negeri Sembilan yang dikawal Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, beberapa kali berada dalam keadaan cemas hasil serangan bertali arus jentera depan Terengganu, namun pertahanan tuan rumah berjaya mengekang asakan berkenaan.

Gawang Negeri Sembilan hampir bolos pada minit ke-11 melalui serangan balas pantas oleh Adisak Kraisorn, namun tendangan penyerang berasal dari Thailand itu kurang cermat dan tersasar ke sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan meskipun dia hanya berdepan dengan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel.

Skuad bimbingan K Devan cuba meningkatkan intensiti persembahan mereka dengan melakukan serangan dan memberi tekanan kepada pelawat dalam usaha mendapatkan gol.

Pada minit ke-28, gol yang dicari Negeri Sembilan akhirnya menjelma apabila Levy Clement Madinda dengan mudah menolak masuk bola kawalan kurang kemas bahagian pertahanan Terengganu, untuk gol pertama tuan rumah sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Bagaimana kelebihan itu tidak berpanjangan apabila anak buah Tomislav Steinbruckner menyamakan kedudukan pada minit ke-45.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan sudut sebelah kiri dan Adisak yang menerima bola menyepak ke arah Sikh Izhan dan akibat kegagalan penjaga gol muda itu menangkap kemas, membolehkan Adisak menyudahkannya dengan baik ke dalam gawang untuk mengikat 1-1 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat cuba mengubah corak persembahan dengan pergerakan yang lebih pantas dan beberapa kali menguji benteng Terenganu terutama menerusi Casagrande dan Mahali Jasuli, namun setiap percubaan mereka itu tidak menepati sasaran.

Berikutan situasi itu, Devan memasukkan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Tommy Mawat Bada dan mengeluarkan Mahali dan Filemon Anyie Standly pada minit ke-66.

Kemasukan dua pemain itu mencipta sensasi apabila lorongan Tommy ke dalam kotak penalti disudahkan dengan baik Casagrande untuk gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke-67.

Terengganu yang berusaha keras untuk mendapatkan gol penyamaan pada penghujung babak dengan serangan bertali arus bagaimanapun gagal apabila Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang mengawal gawang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 10:35 PM