PEMAIN Penang FC Rafael Victor (kiri) berjaya mengeluarkan bola dari kotak penalti ketika diasak pemain Negeri Sembilan. FOTO Bernama
PEMAIN Penang FC Rafael Victor (kiri) berjaya mengeluarkan bola dari kotak penalti ketika diasak pemain Negeri Sembilan. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan Negeri Sembilan FC ( NSFC) terus kempunan kemenangan apabila terikat seri 1-1 dengan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Selepas tewas kepada Sri Pahang FC pada aksi terdahulu, skuad Hobin Jang Hobin dilihat gagal memperagakan aksi mantap seperti diharapkan peminat apabila gagal memanfaatkan kelebihan dimiliki dengan baik untuk mendapatkan kemenangan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menembusi benteng masing-masing apabila perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Namun Penang FC berjaya mengubah corak persembahan mereka pada babak kedua.

Melalui satu serangan balas pantas, pelawat berjaya menjaringkan gol pertama hasil tandukan Glovane Gomes Da Silva pada minit ke-48, sekali gus menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah K Devan kembali memperkemaskan persembahan dan satu percubaan terbaik ke arah pintu gol lawan dilakukan Mohamad Izzudin Mohd Roslan dari luar kotak penalti pada minit ke-51, namun gagal menewaskan Muhamad Azfar.

Pemain tengah, Tommy Mawat Bada akhirnya berjaya mengurangkan tekanan Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan bola mati yang cantik dan menggegar jaring pada minit ke-89.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan tidak kesampaian dan dilihat berpuas hati dengan masing-masing meraih satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 11:19 PM