RAMSEY menggantikan Bale yang bersara sebagai ketua pasukan Wales. FOTO Reuters
RAMSEY menggantikan Bale yang bersara sebagai ketua pasukan Wales. FOTO Reuters
Reuters

London: Pemain tengah Wales, Aaron Ramsey dilantik sebagai kapten untuk mengetuai negaranya dalam kempen kelayakan Euro 2024 selepas persaraan Gareth Bale.

Ramsey pernah menggalas tugas itu sebelum ini, selepas menjadi kapten Wales berusia 20 tahun di bawah mendiang Gary Speed pada Mac 2011 sebelum Ashley Williams mewarisi lilitan lengan berkenaan.

Pemain berusia 32 tahun itu adalah antara tokoh paling senior di kem Wales dengan 78 kali beraksi di peringkat antarabangsa dan paling sesuai untuk mengetuai skuad muda 24 pemain yang disenaraikan oleh ketua jurulatih, Rob Page.

"Selagi kami mempunyai seseorang yang berkualiti seperti Aaron, ia adalah lumrah baginya (menjadi kapten). Dia mempunyai tanggungjawab kepada pemain muda dan mengajar mereka," kata Page dalam satu kenyataan.

"Semua pengalaman yang dia ada dari kali terakhir dia menjadi kapten... Dia sudah pun menikmatinya dan menerimanya sebagai kapten semula," tambah jurulatih itu.

Bale berusia 33 tahun, yang menamatkan kariernya pada Januari dengan 111 penampilan, bersara daripada pemain antarabangsa bersama Joe Allen, Chris Gunter dan Jonny Williams selepas Piala Dunia mengecewakan di Qatar tahun lalu apabila Wales menduduki tangga tercorot peringkat kumpulan.

"Kami belajar daripada pengalaman Piala Dunia dan kami akan meneruskannya ke dalam kempen ini. Kami percaya kami boleh layak ke kejohanan besar," tambah Page.

Skuad mudanya termasuk Luke Harris dari Fulham, 17, dan Jordan James dari Birmingham City, 18.

Selepas layak ke dua edisi Euro dan Piala Dunia tahun lalu, Wales membuka kempen kelayakan Kumpulan D mereka pada 25 Mac di tempat lawan menentang Croatia sebelum Latvia berkunjung Stadium Cardiff City tiga hari kemudian.

Turki dan Armenia juga berada dalam kumpulan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 12:34 PM