NEYMAR (kanan) berehat di atas katil selepas pembedahan buku lali kanannya. FOTO AFP
NEYMAR (kanan) berehat di atas katil selepas pembedahan buku lali kanannya. FOTO AFP
AFP

Doha: Pakar bedah di hospital di Qatar berjaya melakukan pembedahan buku lali kanan bintang Brazil, Neymar, semalam, susulan kecederaan yang menyebabkannya tersisih baki saingan musim ini.

Pemain Paris Saint-Germain (PSG) berusia 31 tahun itu dimasukkan ke Hospital Aspetar di Doha sebelum menjalani pembedahan selama beberapa jam.

"Pembedahan Neymar Jr selesai dengan jayanya," kata PSG dalam satu kenyataan.

"Pemain itu kini akan mengikut protokol untuk berehat dan rawatan."

Pembedahan itu diketuai pakar bedah Britain, James Calder yang kerap membedah bintang bola sepak terkenal Eropah.

Neymar mungkin tersisih selama empat bulan selepas mengalami kecederaan terbaru ketika menentang Lille, bulan lalu dan masalah kecederaan menghantui pemain itu sejak PSG menandatanganinya dengan rekod dunia 222 juta euros (RM1.069 bilion) pada 2017.

Sejak kehadirannya, Neymar hanya bermain 49 peratus perlawanan PSG di Ligue 1 iaitu 112 daripada 228 perlawanan.

Neymar yang turut mengalami masalah sama di Piala Dunia Qatar 2022 berikrar untuk kembali dengan lebih gagah selepas pulih daripada kecederaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 9:47 AM