REAKSI Hodak (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
REAKSI Hodak (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak menyifatkan keputusan seri 0-0 sudah memadai buat pasukannya walaupun berpeluang meraih kemenangan ketika berdepan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Jelas pengendali kelahiran Croatia berusia 52 tahun itu, kejayaan mengutip satu mata itu hadir selepas tiga tahun tanpa sebarang mata bertemu skuad Penyu itu pada aksi di stadium berkenaan.

"Pada musim ini corak permainan TFC tampak berbeza berbanding musim lalu terutama dengan gandingan pemain import baharu dan tempatan bawah kendalian Tomislav Steinbrukner.

"Serangan pasukan itu juga dilihat kurang menyengat berbeza berbanding sebelum ini di mana mereka lebih gemar menekan permainan, tapi kini adalah sebaliknya.

"Namun seperti pasukan kami, skuad TFC juga memiliki banyak peluang, cuma tidak berjaya menembusi jaring gol kami, jadi bagi kami dapat curi satu mata selepas tiga tahun tidak memperoleh sebarang mata di sini (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) ia sudah memadai selepas tumpas 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu," kata Hodak ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

Mengulas lanjut, beliau yang sudah tiga musim membimbing skuad The City Boys itu akui pasukannya perlu bangkit memburu kemenangan lebih-lebih lagi selepas hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan.

"Kami sudah mengharungi tiga perlawanan, dua berakhir dengan keputusan seri dan satu kekalahan, jadi kami hilang tujuh mata, justeru kami tidak boleh keciciran mata lagi sebaliknya perlu bangkit merakam kemenangan pertama untuk berada pada landasan yang terbaik.

"Berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di tempat lawan selepas ini pastinya aksi sukar lebih-lebih lagi skuad itu juga berada pada tahap prestasi terbaik.

"Namun misi kami tetap sama untuk melakar kemenangan lebih-lebih lagi kami ada pilihan yang lebih di jentera tengah apabila Sebastian Avanzini akan kembali sertai latihan selepas bercuti kerana demam," katanya.

Naib juara Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim lalu itu kini menghuni di kedudukan ke-11 liga selepas mengutip dua mata hasil tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 2:24 PM