RAJA Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Pesefahaman di antara FAS  diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (dua, kanan, duduk) dengan BTL  diwakili  Pengarahnya M Megaswari (dua, kiri, duduk) di UOA Business Park, Kawasan Perindustrian Temasya. FOTO Bernama

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menjalin kerjasama dengan pengeluar peralatan perubatan dan estetik dunia, BTL Industries dalam usaha menyediakan fasiliti pemulihan kesihatan terutamanya dalam kalangan pemain Selangor.

Majlis menandatangani memorandum kerjasama itu disaksikan Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di pusat rehabilitasi terbaharu BTL Industries Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Temasya, di sini petang tadi.

Ia ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FAS, Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengarah BTL, M Mageswari.

Pada majlis itu, Tengku Amir turut berkenan melihat sendiri mesin dan peralatan terkini di pusat rehabilitasi yang terdiri daripada ECG Flexi, laser, elektroterapi yang dijangkakan dapat meningkatkan kadar pemulihan kesihatan pemain sehingga 40 peratus.

Sementara itu, Mageswari berkata, pihaknya bukan hanya sekadar penyedia peralatan dan mesin rehabilitasi tetapi memberi khidmat nasihat kepada pihak yang menguruskan kesihatan pemain FAS.

"Kerjasama FAS dengan BTL adalah merangkumi pembekal peralatan, mesin fisioterapi berteknologi tinggi untuk mengurangkan kesakitan dan kecederaaan akibat aktiviti sukan seperti bola sepak.

"Kita juga memberi khidmat nasihat dan ilmu pengetahuan kepada pihak yang menguruskan pemain seperti doktor, ahli fisioterapi bagaimana untuk menggunakan peralatan itu.

"Tiada had dalam kerjasama ini, tetapi sekarang dua tahun bermula musim ini. Selepas ini kita akan teruskan jalinan kerjasama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 9:35 PM