GURU  yang didakwa memiliki beberapa muka surat kertas soalan UPSR 2014.
GURU yang didakwa memiliki beberapa muka surat kertas soalan UPSR 2014.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Dua guru termasuk seorang Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan memiliki beberapa muka surat kertas soalan peperiksaan Matematik dan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 tanpa kebenaran pada September lalu.

Tertuduh pertama yang juga Guru Penolong Kanan Pentadbiran K Anparasu, 50, didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) kerana memiliki sebuah telefon pintar jenis Samsung Trend yang mengandungi beberapa muka surat kertas soalan Science 018, Matematik 035/1 dan Matematik 035/2 UPSR 2014 pada 9 September lalu di SJKT Keruh Pengkalan Hulu.

Tertuduh kedua pula adalah guru wanita sekolah sama yang menggajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil, P Uma Mageswari, 27, didakwa dengan satu pertuduhan memiliki telefon pintar jenis Samsung Ace yang mengandungi beberapa muka surat kertas soalan Science 018 UPSR 2014 pada 10 September lalu.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam T Ellanggovan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari di hadapan Hakim Johari Hassan.

Mohd Amril memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap Anparasu dan Rm7,000 terhadap Uma Mageswari.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Anparasu dengan sorang penjamin, manakala Uma Mageswari dikenakan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta satu lagi syarat iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap minggu hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 12:44 PM