Tengku Amir Shah (dua dari kiri) menerima replika cek sumbangan kepada FAS.
Tengku Amir Shah (dua dari kiri) menerima replika cek sumbangan kepada FAS.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keyakinan dan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berjaya menarik perhatian terutamanya badan swasta untuk melabur dalam pembangunan bola sepak di negeri itu.

Perubahan demi perubahan yang di bawa Tengku Amir menyaksikan ahli perniagaan, Datuk Tan Seng Huat tekad membantu untuk merancakkan lagi perkembangan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi.

Sebagai tanda sokongan, Seng Huat berbesar hati menyalurkan sumbangan RM50,000 buat FAS bagi digunakan untuk pembangunan.

"Bola sepak memang dekat dengan hati saya dan saya yakin masa depan bola sepak Selangor cukup cerah. Di sini banyak bakat-bakat yang bagus dan FAS akan lahirkan ramai lagi pemain muda," katanya yang juga Penaung kelab bola sepak Anak Selangor Fan Club (ASFC) yang beraksi di Liga Selangor.

Sementara itu, Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid mengucapkan jutaan terima kasih kepada Seng Huat menyalurkan sumbangan kepada FAS yang turut dihadiri Tengku Amir di pejabat FAS, semalam.

Pada program sama, Faizal turut menyerahkan jersi bola sepak ASFC kepada Tengku Amir sebagai tanda penghargaan dari dirinya demi bola sepak Selangor.

"Kita berbesar hati dapat sama-sama membantu FAS lebih-lebih dalam aspek pembangunan. Kita tahu pembangunan bola sepak adalah salah satu elemen cukup penting buat sesebuah persatuan.

"Kami mahu jadi antara kelab yang aktif dan berharap satu hari nanti ada pemain muda dari ASFC yang akan bermain untuk pasukan Selangor dan juga skuad kebangsaan satu hari nanti," kata Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 8:03 PM