B MAGESWARI membantu anaknya, A Balachantran membuka kaki palsu yang lama di Teh Lin Prosthetic & Orthopaedic Centre.  FOTO Rohanis Shukri
B MAGESWARI membantu anaknya, A Balachantran membuka kaki palsu yang lama di Teh Lin Prosthetic & Orthopaedic Centre. FOTO Rohanis Shukri
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Saya mahu anak saya jadi insan normal seperti orang lain meskipun terpaksa bergantung kepada kaki palsu," kata R B Mageswari.

Mageswari, 51, ibu kepada A Bala Chantran, 18, yang kudung kaki kanan separas bawah lutut yang dipotong akibat jangkitan kuman apendiks pada April 2021.

Ibu tunggal itu berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu kini memerlukan kaki palsu baharu memandangkan kaki palsu sedia ada mengalami kerosakan.

"Selepas selesai menjalani pembedahan (potong kaki), anak menerima kaki palsu beberapa bulan kemudian iaitu pada November 2021.

"Sejak itu, dia bergantung kepada kaki palsu dalam kehidupan sehariannya termasuk untuk ke sekolah dan lain-lain aktiviti," katanya ketika ditemui di Teh Lin Prosthetic & Orthopaedic Centre, di sini, hari ini.

Selepas beberapa tahun menggunakan kaki palsu berkenaan, katanya, Bala Chantran memerlukan kaki palsu baharu kerana alat sokongan berkenaan sudah rosak dan berkarat.

"Selain rosak dan berkarat, saiz kaki palsu ini juga sudah tidak muat kerana proses pembesaran anak. Ia menyebabkan dia tidak begitu selesa memakai kaki palsu berkenaan.

"Disebabkan itu, saya berharap Bala Chantran dapat diberikan kaki palsu baharu supaya dia dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa," katanya.

Sementara itu, Bala Chantran berkata, meskipun mempunyai kaki palsu, pergerakannya masih terhad dengan banyak aktiviti digemarinya tidak dapat dilakukan.

"Sehingga kini, saya masih sedih dengan apa yang berlaku (kaki dipotong) kerana sudah tidak boleh bermain bola sepak dan menunggang motosikal seperti remaja lelaki lain.

"Namun, saya kuatkan tekad untuk jadi insan normal seperti orang lain apabila sudah memasuki bidang pekerjaan nanti meskipun bergantung kepada kaki palsu," katanya yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), awal tahun ini.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Bank Muamalat 14010008842718 atau Maybank 514105323170.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui cek disertai nama pesakit A Bala Chantran yang dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27248955 untuk sebarang pengesahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 3:47 PM