JERSI JDT  tersenarai antara jersi yang mempunyai rekaan terburuk oleh Footy Headlines. FOTO Footy Headlines
JERSI JDT tersenarai antara jersi yang mempunyai rekaan terburuk oleh Footy Headlines. FOTO Footy Headlines
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jersi utama pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilancarkan bulan lalu tersenarai antara jersi yang mempunyai rekaan terburuk bagi bulan Februari 2023 oleh Footy Headlines, iaitu sebuah portal mengulas mengenai jenama dan kit bola sepak.

Bagaimanapun, portal itu tidak menjelaskan berkenaan kriteria atau garis panduan yang digunakan untuk menilai jersi sesebuah pasukan sama ada buruk atau sebaliknya.

Selain jersi utama JDT turut diletakkan dalam kategori itu ialah jersi utama pasukan Costa Rica; jersi ketiga Urawa Red Diamonds dan jersi edisi khas RB Leipzig.

Sebelum ini, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu melancarkan 'baju perang' mereka bagi mengharungi musim 2023 yang menyaksikan jersi tuan rumah masih mengekalkan identiti bendera Johor iaitu merah biru dengan menggunakan corak 'camouflage' dan berkolar.

Bagi jersi pelawat pula, JDT mengekalkan warna putih sebagai warna utama selain terdapat adunan kombinasi jalur merah di bahagian lengan dan biru di bahagian belakang jersi.

Bagaimanapun, terdapat segelintir penyokong bola sepak tempatan mempersoalkan pemilihan reka bentuk dan warna jersi utama yang disifatkan sebagai tidak begitu menarik berbanding pasukan lain.

Memberikan respon terhadap rungutan itu, pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim enggan memikirkan sama ada corak baju pasukan Harimau Selatan musim ini cantik atau tidak.

Sebaliknya Tunku Ismail menegaskan apa yang lebih penting buat pasukannya adalah untuk mencipta pelbagai kejayaan memandangkan pencapaian pasukan menjadi antara kayu pengukur untuk menilai sesebuah pasukan itu berjaya atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 3:06 PM