LIRIDON dikaitkan dengan perpindahan ke TFC. FOTO Johor Southern Tigers
LIRIDON dikaitkan dengan perpindahan ke TFC. FOTO Johor Southern Tigers
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak naturalisasi negara, Liridon Krasniqi berada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut sumber, perbincangan dengan pemain kelahiran Kosovo berusia 31 itu kini memasuki fasa akhir dengan pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Jelas sumber itu, jika perbincangan berkenaan menemui keputusan positif, pemain yang pernah beraksi dalam Liga Australia bersama kelab Newcastle Jets pada 2021 itu bakal menyarung jersi skuad Penyu musim ini.

"Setakat ini masih lagi dalam proses perbincangan antara kedua-dua belah pihak dan belum ada lagi kata putus sama dia (Liridon) bakal menyarung jersi TFC atau sebaliknya.

"Bagaimanapun hasil perbincangan awal ia begitu positif, namun ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi terutama berkaitan gaji dan kontrak.

"Tapi kita tidak menafikan berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon bagi memperkasakan lagi jentera tengah pasukan, lagipun pemain tinggi lampai itu berpengalaman luas dalam Liga M ketika menyarung jersi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Melaka United FC (MUFC) dan pasukan gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Jadi kita tunggu dan lihat perkembangan perbincangan itu selepas ini," kata sumber itu ketika dihubungi.

Terdahulu tular gambar Liridon bersama pemain skuad TFC di Bangkok, Thailand beberapa hari lalu.

Kehadiran pemain tengah menyerang itu bersama pemain TFC yang kini berada di negara Gajah Perang itu untuk mengharungi empat aksi 'pemanas badan' sebagai persediaan mengharungi kancah Liga Super yang bakal membuka tirainya pada 24 Februari ini dengan permulaan aksi Piala Sumbangsih menentang JDT.

Sebelum ini jurulatih baharu skuad itu, Tomislav Steinbrukner menjelaskan dia mahu mencari seorang pemain tengah yang mampu membantu barisan penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 4:31 PM