JERSI United  untuk aksi di tempat lawan musim depan.
JERSI United untuk aksi di tempat lawan musim depan.
Agensi

London: Jersi Manchester United di tempat lawan untuk musim 2022/23 bukan rahsia lagi selepas bocor di media sosial dan menarik perhatian penyokong yang memuji kombinasi jersi putih serta seluar pendek hitam.

Jersi kedua Red Devils musim lalu menggabungkan corak geometri biru di baju dan warna sama di seluar tetapi untuk musim akan datang, Man Utd kembali dengan corak lebih ringkas.

Menurut Footy Headlines, jersi di tempat lawan kali ini berwarna putih, berseluar hitam dan stokin putih yang mengimbau kembali jersi musim 2015/16 malah sama dengan jersi ketiga mereka pada musim 2009/10 dan 2011/12.

Seorang penyokong United dalam reaksinya berkata di media sosial: "Akhirnya, kami mempunyai jersi kedua yang menarik. Ringkas kadang-kadang adalah kuncinya."

Seorang lagi berkata: "Tengok jersi itu. Ia jersi yang layak untuk beraksi di Liga Juara-Juara."

Peminat lain menambah : "Jika ia benar, saya pasti akan mendapatkannya. Ia jersi 10/10."

Man Utd mahu kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas gagal menghuni kelompok empat teratas di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Mereka berakhir di tempat keenam, 13 mata di belakang Tottenham di tangga keempat dan 35 mata di belakang juara Manchester City.

Pengurus baharu, Erik ten Hag mengambil alih tugas awal bulan ini dengan menggalas misi era baharu di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 6:42 PM