NAFUZI tetap gembira biarpun pasukannya meraih satu mata dalam aksi Liga Super bertemu Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. FOTO MALIK MUHAMAD
NAFUZI tetap gembira biarpun pasukannya meraih satu mata dalam aksi Liga Super bertemu Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Percaturan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dengan memasukkan pemain lebih berpengalaman pada babak kedua berjaya mengelak pasukan itu diaibkan di laman sendiri bertemu Melaka United FC (MUFC) pada aksi Liga Super malam tadi.

Nafuzi berkata, satu mata yang diperoleh begitu berharga buat pasukannya yang dilihat sedikit bergelut pada awal permainan selain memperagakan aksi di bawah kemampuan sebenar.

Gol penyamaan pemain import kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-66 sudah memadai buat skuad Penyu itu untuk terus mencabar pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super.

Nafuzi berkata, walaupun gagal mengutip mata penuh, anak buahnya sudah berusaha dan tidak patah semangat untuk memburu jaringan penyamaan biarpun benteng pelawat kebal untuk ditembusi.

Namun katanya, jika pemain menggunakan kelebihan beraksi di sendiri selain tidak terlalu memberi ruang kepada pihak lawan mendominasi permainan, keputusan dijangka berubah.

"Saya akui Melaka United bermain dengan baik berbanding TFC yang memulakan perlawanan dengan aksi terlalu perlahan, mungkin pemain kami memberi ruang kepada lawan.

"Tapi selepas 20 minit permainan, saya lihat pemain baharu menemui rentak dengan melakukan asakan ke kubu pasukan lawan untuk mengintai peluang menyamakan kedudukan.

"Akhirnya jaringan dicari menjelma walaupun terpaksa menunggu pada pertengahan babak kedua dan satu mata diperoleh begitu berharga buat pasukan untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta liga," katanya ketika tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 itu, skuad Hang Tuah terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti, Alex Goncalves pada minit kedua yang bagaikan 'membunuh' rentak permainan TFC sebelum penyerang, Mintah meledak jaringan penyamaan pada babak kedua.

Keputusan itu menyaksikan TFC kekal menghuni di tangga kedua carta liga di belakang JDT dengan berkongsi 10 mata hasil daripada empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:22 PM