JAMES Okwuaso (kanan) ketika bersaing dengan pemain JDT, Bergson. FOTO FB JST
JAMES Okwuaso (kanan) ketika bersaing dengan pemain JDT, Bergson. FOTO FB JST
Malik Muhamad


Kuala Terenganu: Pertahanan PDRM FC, James Okwuaso antara pemain yang berada dalam radar skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber daripada kem skuad The Cops, 'kereta kebal' berketinggian 1.91 kelahiran Nigeria itu antara pemain yang cuba dipancing skuad Penyu bagi memantapkan lagi skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu.

Jelas sumber berkenaan, selain pasukan dari Pantai Timur itu yang mahukan khidmat pertahanan tengah itu, Selangor FC juga turut dikatakan sedang berunding untuk menawarkan kontrak kepada pemain berusia 33 tahun itu.

Katanya corak permainan berkualiti diperagakan pemain itu pada musim ini selain gaji yang diminta tidak begitu tinggi antara faktor dua pasukan itu dikatakan berminat untuk mendapatkan bekas pemain yang pernah beraksi bersama kelab terkemuka Kuwait, Al Shabab, musim lalu.

"Saya dimaklumkan Okwuaso ditawarkan kontrak oleh TFC dan Selangor FC untuk mengukuhkan benteng pasukan mereka pada musim depan, pihak pengurusan skuad itu kini dalam proses rundingan, namun sama ada pemain itu berminat untuk beraksi di negeri Pantai Timur atau kekal di Lembah Klang menyarung jersi Selangor FC saya tidak pasti.

"Tapi apa yang boleh saya katakan prestasi yang diperagakan pemain itu sejak pertengahan musim lagi sudah diintai beberapa pasukan ditambah faktor gaji yang tidak begitu tinggi diminta pemain itu," ujar sumber itu ketika dihubungi.

Selain pertahanan PDRM itu, antara pemain yang berada dalam radar skuad itu pada musim depan ialah dua penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Dua pemain itu dikatakan kini sedang dirisik TFC sebagai pemain pinjaman selepas tonggak skuad Harimau Malaya kelahiran Terengganu, Safawi Rasid sah bakal menyarung jersi skuad Penyu pada musim depan secara pinjaman.

Dalam pada itu, naib juara Piala Malaysia musim ini dikatakan tidak akan menyambung kontrak pertahanan kelahiran Mersing, Johor, Muhammad Adib Zainuddin yang akan tamat pada hujung bulan ini.

Terdahulu kapten skuad itu, Habib Haroon mengesahkan akan 'angkat kaki' meninggalkan skuad yang diwakilinya sejak pertengahan 2021 selepas mendapat tawaran daripada pasukan lain juga dalam saingan Liga M.

Turut meninggalkan skuad itu pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang dikhabarkan bakal menyarung jersi skuad Selangor FC pada musim depan.

Selain Habib, lima lagi pemain import dikatakan turut tidak bersama pasukan itu pada musim depan ialah dua penyerang, Jordan Mintah dan Adisak Kraisorn.

Selain itu, pertahanan Sardor Kulmatov serta dua perancang, Sony Norde dan Omid Nazari manakala Argzim Redzovic dalam proses naturalisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 12:31 PM