OMID bakal mengetuai jentera tengah Negeri Sembilan. FOTO Ihsan NSFC
OMID bakal mengetuai jentera tengah Negeri Sembilan. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas pemain Persib Bandung Liga Indonesia, Omid Nazari, menjadi pemain import terbaharu skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurusan NSFC dalam satu kenyataan menjelaskan pemain berusia 30 tahun itu adalah bagi kuota Asean dan akan memperkuatkan jentera bahagian tengah skuad Hobin Jang Hobin.

"Omid Nazari adalah pemain import terbaharu pasukan dan dia akan mengetuai jentera tengah skuad musim ini.

"Sebelum ini pemain kelahiran Sweden ini pernah berkelana ke Liga Indonesia beraksi bersama pasukan Persib Bandung pada tahun 2019 sehingga 2021.

"Beliau berjaya membuat penampilan bersama Persib sebanyak 26 perlawanan dengan satu jaringan," katanya hari ini.

Untuk rekod, pemain berkenaan juga pernah mewakili kelab yang bermain dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah iaitu Malmo FF.

Bekas pemain United City ini juga memiliki lima penampilan bersama skuad kebangsaan Iran.

Pengalaman beliau hampir pasti ditagih skuad Rusa bagi menghadapi pentas Liga Super yang lebih kompetitif berbanding Liga Perdana musim lalu.

Sebelum ini, NSFC sudah mengikat dua pemain import membabitkan bekas pemain Sri Pahang FC, Herold Goulon, 33, dari Perancis dan seorang lagi, muka baharu di pentas saingan Liga M iaitu David Gordon Mawutur, 29, dari Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:04 PM