NEYMAR terpaksa diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan buku lali. -FOTO AP
NEYMAR terpaksa diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan buku lali. -FOTO AP
AFP

Paris: Neymar bergelut untuk cergas sepenuhnya sebelum perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara membabitkan pertembungan Paris Saint-Germain menentang Bayern Munich selepas dia terpaksa diusung keluar kerana mengalami kecederaan buku lalu ketika PSG melakarkan kemenangan dalam aksi Ligue 1 ke atas Lille.

Pemain Brazil itu menitiskan air mata ketika terpaksa diusung keluar pada awal separuh masa kedua memegang kaki kanannya dalam kemenangan penuh dramatik PSG 4-3 di Parc des Princes.

Jurulatih Christophe Galtier berkata selepas perlawanan bahawa kaki Neymar terseliuh dan kelab itu kemudiannya mengesahkan bahawa ujian tidak menunjukkan keretakan.

"Neymar menjalani imbasan MRI hari ini selepas pergelangan kakinya terseliuh ketika menentang Lille," kata satu kenyataan kelab.

"MRI menunjukkan tiada tulang yang patah. Penilaian baharu mengenai tahap kecederaan ligamen akan dilakukan dalam tempoh 48 jam akan datang."

Neymar sebelum itu meledakkan gol kedua pasukannya untuk PSG mendahului 2-0 sebelum aksi longlai mereka menyebabkan mereka ketinggalan 3-2 pada separuh masa kedua.

Kylian Mbappe yang menjaringkan gol pembukaan menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tiga minit sebelum Lionel Messi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95 hasil sepakan percuma ketika pendahulu Ligue 1 itu menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut.

PSG kini berharap bahawa Neymar, 31, tidak memerlukan tempoh rehat yang panjang kerana mereka bakal berdepan perlawanan yang sukar di Marseille dalam saingan Ligue 1 hujung minggu depan dan perlawanan kedua menentang Bayern pada 8 Mac.

Juara Perancis itu akan berkunjung ke Jerman untuk mengejar defisit 1-0 selepas perlawanan pertama, apabila Mbappe di masukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua selepas pulih daripada kecederaan paha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 9:39 AM