Neymar mengalami kecederaan ketika aksi Ligue 1. FOTO Agensi
Neymar mengalami kecederaan ketika aksi Ligue 1. FOTO Agensi
AFP

Paris: Neymar dijangka diketepikan antara enam hingga ke lapan minggu selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali kiri, menurut kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) hari ini.

Bintang Brazil itu diusung keluar dalam keadaan kesakitan selepas mengalami kecederaan itu pada penghujung babak permainan ketika menewaskan Saint-Etienne, 3-1 dalam aksi Ligue 1, Ahad lalu.

"Pemeriksaan semalam mengesahkan Neymar Jr terseliuh buku lali kiri dan ligamennya tercedera," kata PSG yang akan memberikan maklumat lanjut selepas 72 jam.

Neymar beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dalam 13 daripada 15 perlawanan untuk PSG musim ini selepas mengharungi empat tahun yang dibelenggu kecederaan di Perancis, tetapi dia bakal berdepan satu lagi rehat panjang selepas terjatuh dalam pertembungan dengan pemain Saint-Etienne, Yvann Macon.

Pemain berusia 29 tahun itu memuat naik videonya memakai kasut pressotherapy di kaki kirinya.

"Siri nasib malang ini adalah sebahagian daripada hidup seorang atlet." katanya menerusi Instagram.

"Ia menjadi seperti itu ketika ini, harus berusaha dan meneruskan kehidupan. Saya akan kembali lebih baik dan kuat."

Neymar dijangka pulih menjelang aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah pada pertengahan Februari.

PSG mengesahkan kemaraan sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Manchester City.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino kini mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 12 mata ke atas pesaing terdekat Rennes.

Brazil pula sudah layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar tahun depan, dan Neymar dijangka tidak akan diturunkan untuk perlawanan menentang Ecuador dan Paraguay pada 27 Januari dan 1 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 8:53 AM