DAUD (tiga dari kanan) bergambar bersama lima pemain import Sang Kenari. FOTO FB Mohd Daud Bakar
DAUD (tiga dari kanan) bergambar bersama lima pemain import Sang Kenari. FOTO FB Mohd Daud Bakar
Izzali Ismail


Alor Setar: Peruntukan bajet Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang lebih rendah pada musim ini antara faktor hanya lima pemain import menjadi sandaran Sang Kenari bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, berdasarkan bajet sederhana, hanya lima pemain import iaitu Sony Norde dari Haiti, Milos Gordic (Serbia), Sukhrob Nurulloev (Uzbekistan), Habib Haroon (Bahrain) dan Jose Cleylton (Brazil) melengkapi skuad itu musim ini berbanding sembilan pada musim lalu.

"Setakat 16 April, pasukan Liga Super lengkap sepenuhnya dan hanya lima pemain import diikat kontrak dan melaporkan diri bersama pasukan bagi mengharungi Liga M dalam tiga kejohanan utama iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim ini.

"Untuk makluman, KDA FC melakukan persiapan rapi dan berhemah, dan dengan bajet sederhana, walaupun dilanda beberapa halangan dan isu kewangan, pihak pengurusan komited dan membuat perancangan rapi membentuk pasukan mengikut adunan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

"Kami berjaya mengurangkan kos berkaitan gaji pemain import berbanding apa ditawarkan kepada pemain import berbanding musim lalu," katanya.

Katanya, pihaknya memuktamadkan 22 pemain tempatan dalam membentuk skuad yang mampu memberi saingan terbaik musim ini.

"Bagi musim 2024/2025 ini, 22 pemain tempatan melengkapkan 27 pemain keseluruhan dalam pasukan. Peranan dimainkan ketua jurulatih cukup besar, dengan situasi sekarang, beberapa nama besar pemain tempatan dan juga luar negara bersetuju mewakili Sang Kenari," katanya.

"Saya percaya, dengan situasi terkini, fenomena luar biasa kepada KDA FC dapat menarik pemain yang mempunyai reputasi dan kredibiliti tinggi bagi menyertai pasukan" katanya.I

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:25 PM