PENOLONG ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Pablo Ricchetti (dua, kiri) dan ketua jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner (dua, kanan) bersama Piala Sultan Haji Ahmad Shah sempena perlawanan Sumbangsih 2023 antara JDT menentang Terengganu FC esok pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. FOTO Bernama
PENOLONG ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Pablo Ricchetti (dua, kiri) dan ketua jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner (dua, kanan) bersama Piala Sultan Haji Ahmad Shah sempena perlawanan Sumbangsih 2023 antara JDT menentang Terengganu FC esok pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Walaupun tanpa tiga tonggak utama yang terpaksa diketepikan, Terengganu FC (TFC) tetap akan turun habis-habisan untuk menafikan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, mereka akan turun tanpa kelibat Habib Haroon yang masih dibelenggu kecederaan dan Faiz Nasir yang menghadapi masalah kesihatan manakala Liridon Krasniqi tidak boleh diturunkan kerana berstatus pemain pinjaman dari JDT.

"Kita tidak anggap ia masalah besar buat TFC, sebaliknya saya sudah membuat persiapan yang rapi untuk persediaan menentang JDT dalam perlawanan pembuka tirai liga malah aksi ketika pramusim di Thailand berjalan lancar, cuma kami tewas kepada kelab dari Denmark, Odense Boldklub.

"Kualiti aksi pramusim bukanlah ukuran sebenar malah ia terarah untuk membentuk keserasian dan memahami taktikal permainan yang saya terapkan dan apa yang diutamakan adalah aksi sebenar menentang JDT dan kami tetap akan mengamalkan corak permainan menyerang.

"Saya akui posisi tengah memainkan peranan penting bagi memastikan corak permainan yang lebih tersusun terutama pergerakkan apabila melakukan serangan dan ketiadaan Habib, Faiz serta Liridon agak menjejaskan posisi itu tapi saya sudah mengenalpasti pengganti ketiga-tiga pemain itu dan percaya pemain yang akan dibawa masuk akan menggalas tugas yang diberikan," katanya.

Steinbruckner juga mengakui walaupun hampir separuh dalam skuad TFC terdiri daripada muka baharu, namun ia bukan alasan untuk terlebih awal menyerah kalah, malah enggan mengamalkan corak permainan bertahan sebaliknya akan memberi tumpuan dengan corak permainan agresif.

Sementara itu, Shahrul Nizam Ros Hasni menzahirkan kesyukuran apabila di lantik selaku kapten TFC pada musim ini dan berjanji akan memberi persembahan terbaik apabila berdepan JDT dan berharap kejayaan menewaskan skuad Harimau Selatan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada April 2021 mampu diulangi.

Katanya, kali terakhir Terengganu menjulang Piala Sumbangsih pada musim 2001 dan sudah 22 tahun tidak memenangi piala berkenaan sekali gus ia peluang terbaik untuk menebus kehampaan tatkala di bawah pengendali baharu.

"Sebagai pemain pertahanan, saya kena bersedia dari segi mental dan fizikal kerana akan berdepan dengan rangkaian serangan terbaik dalam kancah liga iaitu Bergson (Da Silva) dan Fernando Forestieri malah JDT juga ada Diogo (Luis Santo).

"Sejujurnya saya boleh katakan ia perlawanan sukar buat kami namun dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berusaha bermain dengan konsisten walaupun kami tahu beraksi di gelanggang JDT cukup sukar untuk menang tapi kami enggan menyerah kalah," kata Shahrul Nizam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:04 PM