Kalau ikut asasnya, apabila liga batal bermakna perlawanan Piala Sumbangsih pun batal juga- Khalid Ali.
Kalau ikut asasnya, apabila liga batal bermakna perlawanan Piala Sumbangsih pun batal juga- Khalid Ali.
Oleh Firdaus Hashim


JIKA saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dibatalkan, adakah gelaran Piala Sumbangsih turut terbatal?

Itu persoalan yang timbul dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai status sebenar perlawanan pembuka tirai Liga M musim ini antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah itu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Februari lalu menyaksikan JDT menepati ramalan dengan menewaskan Kedah 1-0 menerusi jaringan tonggak import, Mauricio Nascimento.

Berdasarkan format pertandingan, skuad Harimau Selatan turut dihadiahkan tiga mata dalam saingan liga, sekali gus aksi berkenaan dianggap tidak sah sekiranya Liga M dibatalkan musim ini.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, beliau tidak pasti mengenai format sebenar saingan liga tempatan, namun mengakui secara logiknya aksi sumbangsih adalah sebahagian daripada kempen liga.

"Saya tak berapa tahu (format Liga M) macam mana. Sebab kadang-kadang liga kita ini boleh berubah tiba-tiba. Cuma saya nak katakan, kalau ikut asasnya, apabila liga batal bermakna perlawanan Piala Sumbangsih pun batal juga.

"Ia kerana dalam perlawanan itu ada menyumbangkan mata dalam liga. Jadi kalau liga batal, perlawanan itu pun batal.

"Kalau ikut format di Eropah memang macam itu. Contoh, kelab kegemaran saya Liverpool, sampai sekarang pun tak diumumkan sebagai juara.

"Kalau liga (Liga Perdana Inggeris) batal, mungkin Liverpool pun tak diumumkan juara. Sedangkan Liverpool meraih banyak mata tapi disebabkan liga batal, status kejuaraan pun mungkin terbatal," katanya kepada Arena Metro.

Sekiranya pendapat itu diambil kira, ini bermakna skuad Harimau Selatan perlu menyerahkan semula trofi berkenaan dan pertembungan antara juara Liga Super (JDT) dan juara Piala FA (Kedah) musim lalu itu harus dilangsungkan semula.

Untuk rekod, JDT menjulang Piala Sumbangsih empat kali pada edisi 2015, 2016, 2018 dan 2019 manakala Kedah pula tiga kali iaitu pada 1991, 1994 dan 2017.

Sebelum ini, saingan Liga M terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu susulan wabak pandemik Covid-19 dan situasi itu dijangka kekal untuk tempoh lebih lama apabila kerajaan melarang sebarang perhimpunan ramai termasuk aktiviti bola sepak antara enam hingga setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:00 AM