MODRIC (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
MODRIC (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Jaringan menakjubkan Luka Modric membantu Real Madrid meraih kemenangan 4-1 di Celta Vigo, hari ini sekali gus menyaksikan juara bertahan La Liga itu meraih dua kemenangan selepas dua perlawanan.

Modric melencongkan bola dari luar kotak penalti sejurus sebelum separuh masa pertama untuk meletakkan skuad bimbingan Carlo Ancelotti kembali di hadapan.

Sebelum itu Karim Benzema meletakkan Real di hadapan menerusi sepakan penalti minit ke-14 tetapi Iago Aspas menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti minit ke-23.

Vinicius Junior dan Federico Valverde masing-masing menambah gol pada separuh masa kedua manakala Eden Hazard terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan penaltinya diselamatkan.

Selepas kemenangan 2-1 di Almeria pada aksi pembukaan, Madrid kini menyertai Real Betis dan Osasuna di puncak liga dengan mengumpul enam mata.

"Dia pemimpin yang hebat buat kami. Dia menjaringkan gol penting pada perlawanan ini kerana kembali meletakkan kami di depan.

"Selepas itu permainan menjadi mudah buat kami," kata Ancelotti mengulas prestasi Modric yang mendapat penghormatan daripada penyokong pasukan lawan.

Mengulas situasi itu, Modric berkata: "Itu sesuatu yang sangat istimewa apabila penyokong pasukan lawan menghargai dan memuji anda."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 10:30 AM