BENZEMA (dua dari kanan) memegang trofi Ballon d'Or bergambar bersama (dari kiri) Modric; Iker Casillas; penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, yang memegang trofi Yashin sebagai penjaga gol terbaik serta legenda Perancis, Zinedine Zidane pada 22 Oktober lalu.
BENZEMA (dua dari kanan) memegang trofi Ballon d'Or bergambar bersama (dari kiri) Modric; Iker Casillas; penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, yang memegang trofi Yashin sebagai penjaga gol terbaik serta legenda Perancis, Zinedine Zidane pada 22 Oktober lalu.
AFP

Madrid: Real Madrid akan turun tanpa pemenang Ballon d'Or tahun ini, Karim Benzema dan pemenang 2018, Luka Modric untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Leipzig, awal pagi esok, kata jurulatih, Carlo Ancelotti.

Benzema mengalami masalah paha kiri manakala perancang berbisa, Modric turut mengalami kesakitan otot paha.

Kecederaan dua-duanya tidak serius, tetapi memandangkan Real sudah layak ke peringkat kalah mati, Ancelotti tidak mahu mengambil risiko kehilangan mereka lebih lama sekiranya menurunkan mereka, awal pagi esok.

"Bagi Karim dan Luka, mereka hanya mengalami masalah kecil, tetapi kami tidak mahu mengambil sebarang risiko," kata Ancelotti.

"Saya lebih suka kehilangan Modric atau Benzema untuk satu perlawanan, berbanding sebulan."

Real turut turun tanpa pemain tengah Uruguay, Federico Valverde, yang mengalami lebam di kaki ketika menang 3-1 ke atas Sevilla hujung minggu lalu yang menyaksikan Madrid memiliki kelebihan tiga mata di puncak La Liga.

"Ini adalah saat paling mencabar dalam musim ini, terlalu banyak perlawanan pada pendapat saya," kata Ancelotti yang tidak membawa Dani Ceballos dan Mariano dalam kunjungan ke Jerman.

"Kami akan terus bertahan, walaupun tanpa beberapa pemain utama."

Ancelotti mengesahkan Vinicius Junior akan bermula sebagai penyerang, mungkin bersama rakan senegaranya dari Brazil, Rodrygo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 10:13 AM