Penyerang Real Madrid, Karim Benzema meraikan jaringan berdepan Barcelona pada saingan Piala Super Sepanyol. FOTO Reuters
Penyerang Real Madrid, Karim Benzema meraikan jaringan berdepan Barcelona pada saingan Piala Super Sepanyol. FOTO Reuters
AFP

Riyadh: Xavi Hernandez berkata pasukan muda Barcelona pimpinannya mampu memberi tentangan sengit sekalipun tewas kepada Real Madrid pada aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol, pagi ini.

Barca tewas 3-2 selepas tambahan masa di Arab Saudi untuk menjadikan kemenangan kelima berturut-turut buat Real Madrid dalam aksi Clasico.

Namun skuad kendalian Xavi, yang ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu La Liga itu mempamerkan kualiti tersendiri dan menunjukkan mereka mempunyai peluang cerah di kelab itu pada masa depan.

"Ia amat jelas pada hari kami membuktikan kesungguhan dan memikul tanggungjawab pada bola sepak. Hari ini adalah hari yang tepat untuk berbangga dengan prestasi pemain sekalipun tewas," kata Xavi.

"Kami lebih hebat daripada Madrid dalam banyak peringkat," tambahnya.

Gol Vinicius Junior dan Karim Benzema memastikan Real Madrid dua kali di depan namun Barcelona berjaya merapatkan jurang, dengan Luuk de Jong menyamakan kedudukan sebelum separuh masa dan tandukan Ansu Fati memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Fede Valverde menjaringkan gol kemenangan untuk membolehkan Madrid mara ke final pada Ahad. Mereka akan berdepan sama ada Atletico Madrid atau Athletic Bilbao, yang akan beraksi pada separuh akhir kedua, hari ini.

"Ia dua perasaan yang berbeza," kata Xavi.

"Perasaan yang kecewa kerana tewas tetapi dari sudut lain kami boleh berasa bangga dengan persembahan kami. Kami perlu lebih banyak berlatih."

Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti gembira dengan aksi dipamerkan pasukannya bagi memastikan kemenangan itu.

"Peluang agak seimbang, mereka lebih menguasai kedudukan, kami mempunyai lebih peluang ketika serangan balas," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 8:26 AM