LUQMAN beraksi di Liga Iceland. FOTO FB  Team Malaysia
LUQMAN beraksi di Liga Iceland. FOTO FB Team Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekuatan mental dan cita-cita besar yang dipasang penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin nyata menjadi pembakar semangatnya untuk terus berjuang di bumi Eropah ketika ini.

Mungkin buat segelintir pemain yang pernah berkelana di Eropah akan memilih untuk pulang ke tanahair selepas gagal meraih tempat dalam pasukan utama, namun perkara terbabit tidak ada dalam kamus hidup Luqman yang tetap percaya dirinya mampu mencipta nama di benua itu.

Biarpun dia kini beraksi di Liga Iceland bersama UMF Njardvik secara pinjaman dari KV Kortrijk (KVK) dari Liga Belgium, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu akui penghijrahannya bakal membuka lembaran baharu dalam kariernya sebagai pemain profesional.

Dia yang dihubungi Arena Metro menjelaskan, selagi namanya tidak dikenali di Eropah, tonggak berusia 21 tahun itu tidak akan pulang ke Malaysia sehinggalah impiannya benar-benar terlaksana.

"Saya datang ke Iceland untuk saya bermain bola sepak di sini dan dapat minit bermain. Saya set dalam kepala bermain di sini untuk keluarga saya saja.

"InsyaAllah dengan pasukan baru ini saya akan buat sebaik mungkin, saya impikan untuk cipta nama dekat sini, tak adalah sampai dunia. Saya nak capai cita-cita saya.

"Saya tahu ia agak susah, tapi saya dapat rasa saya boleh buat. Kuat sangat hati saya kata saya boleh mencipta nama di sini sebelum saya balik ke Malaysia nanti.

"Tak ada benda senang dan tak ada benda susah.Saya tak fikir apa orang nak kata, yang baik (kritikan membina) saya ambil, yang tak baik saya tolak. Tiada proses mudah untuk tujuan yang indah.

"Saya cuma nak mak ayah saya bangga dengan saya. Saya yakin sangat dan jiwa saya kuat mengatakan saya boleh," katanya kepada Arena Metro.

Luqman yang pernah tergolong antara 60 pemain muda paling berbakat di dunia oleh The Guardian mula menyertai KVK pada Oktober 2020 dengan ikatan kontrak lima tahun dengan kelab divisyen satu Belgium itu.

Begitupun selepas dua musim, pemenang kasut emas Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 lalu itu dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya diturunkan dalam skuad pembangunan KVK saja.

Ujar Luqman lagi, dia percaya kelab barunya UMF Njardvik boleh dijadikan batu loncatan buatnya memikat perhatian pasukan lain.

"Saya yang pilih datang ke sini. Saya dapat dua tawaran tapi satu lagi kelab itu ada masalah kewangan yang sukar, sebab itu saya ke Iceland.

"Lagipun jurulatih di kelab ini memang mahukan saya, dan saya pun dah bercakap dengan jurulatih. Kadang-kadang kalau pengurusan nak tapi jurulatih tak mahu susah jugak, tapi kat sini jurulatih nakkan saya.

"Saya mahu jadikan kelab ini tempat untuk saya dapatkan sesuatu. Dah habis tempoh pinjaman nanti, saya akan balik ke KVK dan kalau perlu dipinjamkan lagi saya akan buat, sampai kontrak saya habis dan cuba capai apa yang saya mahukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 11:27 AM