LUQMAN berpindah ke kelab Iceland. FOTO Facebook Team Malaysia
LUQMAN berpindah ke kelab Iceland. FOTO Facebook Team Malaysia
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Perpindahan Luqman Hakim Shamsudin ke kelab Iceland, Njardvik FC menyaksikan pemain muda negara itu berjaya mencuri perhatian pasukan Eropah.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh menganggap perpindahan itu juga sebagai satu pencapaian buat Luqman yang berpindah dari kelab Belgium, KV Kortrijk ke Iceland.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan bahawa apa yang dilakukan Luqman harus menjadi motivasi kepada pemain muda yang lain untuk menimba pengalaman di luar negara.

"Memang itu satu pencapaian juga sebab dari Belgium pergi ke Iceland, maknanya kualiti dia orang pandang juga.

"Kita kalau boleh nak lebih ramai pemain tempatan dan muda berhijrah supaya dapat pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Apabila balik ke negara sendiri, Insya-Allah dapat menaikkan lagi mutu bola sepak kita," katanya.

Terdahulu, Njardvik menerusi laman media sosial mereka secara rasmi mengumumkan Luqman menyertai kelab itu secara pinjaman dari Kortrijk selama semusim.

Luqman membuat penampilan sulung bersama Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian.

Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu beraksi bersama skuad senior Kortrijk musim ini pada perlawanan menentang KVC Westerlo pada Oktober lalu.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan penghijrahan Luqman itu tetap satu perkembangan yang baik kerana dia masih kekal bermain di Eropah.

"Selagi dia masih dalam benua Eropah, ia satu perkara yang terbaik. Untuk Luqman saya ucapkan selamat maju jaya, jangan putus asa. Kita tahu berapa tinggi mutu bola sepak di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 7:07 PM