YUSOFF Mahadi.
YUSOFF Mahadi.
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL) Datuk Mohd Yusoff Mahadi melihat kehadiran ramai pemain profesional beraksi di Liga M3 meningkatkan lagi kualiti saingan semi profesional itu.

Mohd Yusoff menjelaskan pihaknya menetapkan pasukan Liga M3 perlu membariskan minimum 10 pemain profesional untuk bersaing dalam Liga M3 bermula musim ini.

Malah, beliau berkata, ia sebagai salah satu langkah untuk mendidik pasukan Liga M3 ke arah profesional selain diberikan pendedahan dari segi pengurusan kelab.

"Liga M3 memang liga untuk menyediakan kelab ke peringkat atas, maknanya ia menjadi liga kedua di negara ini.

"Apabila Liga Perdana tak ada, itu sebab tahun ini kita jadikan Liga M3 sebagai liga separuh profesional. Ia bagi mendidik kelab supaya bersedia apabila masuk saingan profesional nanti, mereka tahu apa yang perlu dibuat.

"Jadi Liga M3 ini akan jadi lebih baik dan mungkin sebab itu berjaya menarik ramai pemain profesional untuk bermain dalam saingan kali ini.

"Kalau dulu Liga M3 ini dianggap seperti Piala FAM, tetapi tahun ini akan berbeza apabila ramai pemain profesional dan kita sudah namakan dia sebagai liga separuh profesional," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan saingan Liga M3 menjadi penyelamat karier kebanyakan pemain profesional apabila sukar mendapat 'kerja' bersama pasukan Liga Super selain Liga Perdana tidak dipertandingkan musim ini.

Menurut bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City, Fakrul Aiman Sidid dan pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjejaskan tiada apa yang perlu dimalukan jika pemain profesional bermain dalam amatur atau separuh profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 7:17 PM