ARQUES (kiri) menjadi import terawal disahkan pasukan Kijang Merah. FOTO Ihsan Kelantan FC
ARQUES (kiri) menjadi import terawal disahkan pasukan Kijang Merah. FOTO Ihsan Kelantan FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Import Sepanyol, Mario Arques kembali bermain untuk Kelantan FC untuk memperkuat pasukan mengharungi Liga Super Malaysia 2023.  

Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu disahkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman di laman sosial, Facebook beliau.  

Arques menjadi import terawal disahkan pasukan Kijang Merah yang turut akan mengesahkan satu lagi import dalam masa terdekat.

Penyerang berketinggian 185 sentimeter itu sebelum ini pernah bermain untuk Kelantan pada tahun 2021 sebelum ditamatkan kontrak pada bulan Oktober atas faktor kecederaan dan perlu pulang ke negara asal kerana bapanya dijangkiti Covid-19.

Sepanjang berada bersama pasukan, penyerang yang berpengalaman bermain di beberapa kelab di Ukraine, India dan Australia ini menjadi tonggak utama Kelantan FC dengan mencetak dua gol dan menjadi ketua pasukan.

Arques turut membantu TRW mara ke saingan Piala Malaysia selepas berada di kedudukan keenam Liga Perdana.

Dia yang memulakan karier awal bersama pasukan Villarreal U-19 pernah beraksi untuk pasukan Kerala Blasters sebelum menyertai Newcastle Jets.

Musim lalu, Arques menyertai Liga Vietnam dengan bermain untuk Song Lam Nghe An FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 2:09 PM