ARQUES (kanan) berebut bola dengan pemain Selangor FC, Ahmad Danial Ahmad Asri pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, Ahad lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
ARQUES (kanan) berebut bola dengan pemain Selangor FC, Ahmad Danial Ahmad Asri pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, Ahad lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kapten Kelantan FC, Mario Arques memberitahu barisan pemain skuad The Red Warriors (TRW) mengetahui kontroversi melanda pasukan, namun mengambil pendekatan selamat dengan bersikap profesional dan tidak masuk campur.

Arques berkata, ketika ini pemain mahu fokus di atas padang bagi memastikan pasukan berjaya meraih keputusan positif dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam kempen Liga Super.

"Semua tahu situasi di luar padang, tetapi kami harus profesional, kami perlu berikan 100 peratus dalam setiap perlawanan," katanya.

Terdahulu, isu membabitkan ejen Korea Selatan, Myeong Jeong dan Kelantan FC tampak akan terus berpanjangan apabila mahu mengheret kelab itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Jeong mendakwa pihaknya bersama beberapa individu lain sedang bekerja keras untuk membuat tuntutan undang-undang kes berkenaan kepada badan bola sepak dunia itu susulan kes membabitkan bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik.

Sementara itu, Arques berkata, semua pemain sudah memberikan yang terbaik walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka dalam kebanyakan perlawanan.

"Satu perkara boleh saya katakan, sebagai kapten saya bangga dengan pasukan ini, kami sudah berikan 100 peratus.

"Tetapi, fizikal kami tidak cukup kuat dan saya mahu yakinkan penyokong kami akan bangkit semula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 6:05 PM