JOHAN Kamal akui sukar mendapatkan pemain berprofil tinggi. FOTO NSTP
JOHAN Kamal akui sukar mendapatkan pemain berprofil tinggi. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Liga Malaysia (Liga M) bukan tidak berkualiti tetapi kurang dikenali sehingga menyebabkan sukar untuk kelab-kelab di negara ini mendapatkan barisan pemain import berkualiti.

Demikian pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang mengalami sendiri kesukaran untuk mendapatkan pemain import berkualiti kerana terpaksa bersaing dengan liga lain yang lebih berprestij dan dikenali.

"Sebenarnya nak cari pemain import berkualiti tak mudah sebab kalau kita lihat pasaran global, pemain yang bagus mereka ada banyak pilihan. Mereka boleh pergi ke Liga Saudi, Arab dan Eropah yang sudah tentu tawaran dia susah untuk kami tandingi.

"Sudah pasti jangkaan penyokong tinggi, jadi kita kena ambil pemain yang mungkin boleh beraksi dengan baik. Jadi untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi memang tidak mudah kerana kita sering kali perlu bersaing dengan pasukan dari UAE dan Eropah.

"Kebanyakan pemain-pemain ini mereka tak tahu pun Liga Malaysia. Saya rasa TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) pernah nyatakan sebelum ini nak bawa pemain bagus datang Malaysia tak mudah. Kita juga mengalami cabaran itu," katanya.

Johan berkongsi sendiri kesukaran untuk menandatangani pemain import terutamanya mereka yang berstatus pemain kebangsaan.

"Contoh ada satu pemain kebangsaan, bila dia nak turunkan tandatangan dan maklumkan kepada ketua jurulatih (kebangsaan), ketua jurulatih dia beritahu tak boleh main di Malaysia. Jadi terpaksa batalkan.

"Bukan sebab (Liga M) tak berkualiti tapi mungkin kurang dikenali. Sebab promosi liga kita hanya di Malaysia saja, tak cukup (terdedah) keluar. Saya rasa (prestasi) JDT (Johor Darul Ta'zim) di peringkat kejohanan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bagus tapi mungkin di luar seperti di Amerika Selatan, mungkin informasi berkenaan Liga Malaysia tak sampai ke sana.

"Jadi bila ketua jurulatih tak pernah dengar (Liga M), dia tak akan bagi pemain pergi sebab pemain mungkin tidak dapat lagi panggilan pasukan kebangsaan. Jadi pemain itu pun tak pergi," katanya.

Ketika ini Selangor FC masih mahu mendapatkan seorang lagi pemain import selepas mengekalkan empat pemain import lama iaitu Yazan Al-Arab (Jordan), Hein Htet Aung (Myanmar) Alex Agyarkwa dan George Attram (Ghana).

Tiga pemain import yang dibawa masuk pula adalah pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu (Ghana) dan terbaharu penyerang dari Colombia, Ayron Del Valle.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 7:11 PM